Opah Tunjuk Skill Buat Bottle Flipping. Mudahnya Dia Buat
Opah Tunjuk Skill Buat Bottle Flipping. Mudahnya Dia Buat. Cabaran menterbalikkan botol air atau bottle flipping mula menjadi trend di seluruh dunia dua tahun lalu dan banyak sekali video yang dimuat naik netizen yang cuba melakukan aksi itu.
Sekilas pandang, ia kelihatan amat mudah dilakukan, namun sebenarnya ramai yang telah mencuba berkali-kali tetapi gagal. Lain ceritanya dengan seorang nenek berusia 74 tahun dari Kanchong Darat di Banting apabila videonya yang bersahaja menterbalikkan botol berisi air secara serentak tular di Facebook.
Menariknya, Zainab Mohd Ali melakukan cabaran itu ketika masih bertelekung kerana ingin membuat ‘tutorial’ kepada cucunya cara menterbalikkan botol air tersebut.
Anaknya, Hamsiah Mohd Isnin, 40, ketika dihubungi mStar Online berkata, ibunya berasa terkejut dan malu selepas mengetahui tentang video itu yang tular sejak ia dimuat naik pada Khamis minggu lalu.
“Lepas saya beritahu mak yang dia dah viral, dia pun terkejut dan malu sebab katanya bulan puasa macam ni dia patut berzikir, bukannya buat macam tu.
“Tapi, saya katakan kepada dia it’s just for fun (hanya suka-suka), barulah dia okay,” katanya yang merupakan anak bongsu kepada Zainab. Tambah Hamsiah, ibunya merupakan seorang yang ceria dan gemar melayan permintaan cucu-cucunya.
Jelas surirumah itu, ibunya pada ketika itu sedang menunggu waktu solat Isyak semasa dia melihat cucunya cuba untuk menterbalikkan botol air itu beberapa kali.
“Anak abang saya mengajak mak untuk cuba melakukan bottle flipping itu dan merakam video secara curi-curi. “Tak sangka mak berjaya pada percubaan pertama. Dia kemudian cuba buat dengan tiga botol berbeza, semuanya menjadi,” katanya.
Dalam video berdurasi 18 saat itu, Zainab dilihat menterbalikkan botol pertama dan kedua yang berisi air dengan hanya sekali percubaan.
Dia kemudiannya menterbalikkan dua botol air secara serentak dan video tersebut sudah ditonton lebih 1.3 juta kali serta menerima lebih 2,800 tanda suka (likes).
Sumber: mstar