PDRM Waspada Kebangkitan JDT II
KUANTAN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tetap berwaspada dalam misi menewaskan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) di Stadium Pasir Gudang pada aksi Liga Perdana, malam esok.
Pengendali The Cops, Zulhamizan Zakaria berkata, kemenangan itu amat penting untuk menjarakkan kedudukan dengan dua pencabar terdekat, MIFA dan FELCRA FC selepas masing-masing terikat pada 22 mata.
Menurut Zulhamizan, skuad bimbingannya itu sedia menggempur kubu tuan rumah untuk meletakkan PDRM pada kedudukan lebih selesa.
“Tetapi, saya akui dengan prestasi tuan rumah yang kian meningkat, kami perlu lebih berwaspada untuk memastikan kejayaan memihak kepada PDRM,” kata Zulhamizan.
“Aura kemenangan 2-0 ke atas MIFA pada 31 Mei lalu juga diharap membantu untuk memastikan prestasi terbaik itu dapat diteruskan pada perlawanan esok.”
Pada perlawanan pusingan pertama liga 10 April lalu, The Cops berkongsi satu mata selepas kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan.
Bagi mencapai misi berkenaan, Zulhamizan mahu Petrisor Voinea meneruskan sentuhan berbisanya untuk membantu pasukan membawa pulang tiga mata dari tempat lawan.
“Dengan sokongan dan kerjasama semua pemain, saya percaya PDRM akan pulang dengan kejayaan,” kata bekas pemain kebangsaan itu.
Sumber: Berita Harian