1

Peminat Minta Aidil Jumpa Dua Anaknya Yang Rindukan Daddy, Ini Jawapan Beliau

Pemain pertahanan skuad Harimau Malaya, Mohamad Aidil Zafuan Radzak bersedia menemui dua anaknya, Airit Rayyan Rizqin, 9, dan Airit Qaqa Arjuna, 7, pada bila-bila masa.

“Insya Allah, saya akan jumpa dia,” katanya menjawab ringkas pertanyaan peminat di Instagram Live isterinya, Zarema Zainal, hari ini. Dalam sesi bicara secara langsung itu, peminat bertanya bilakah Aidil akan bertemu anaknya. Sementara itu, Rita Rudaini ketika dihubungi bersyukur dan menyambut baik hasrat bekas suaminya untuk bertemu anak mereka.

“Alhamdulillah jika benar dia mahu bertemu anak-anak. Selama ini saya tunggu saja dia datang berjumpa Rayyan dan Arjuna. Sebagai ibu, saya tak pernah ada niat nak halang dia.

“Sebulan sebelum dia berkahwin, dia ada berjumpa anak-anak. Ketika itu saya pesan, jangan putuskan hubungan dengan anak-anak walaupun sudah ada keluarga baru.

“Kalau pun tak boleh berjumpa, telefonlah setiap hari agar anak sentiasa ingat bapa mereka. Tiga bulan pertama selepas berkahwin, dia ada hubungi anak-anak. Ketika itu saya sangat gembira. Namun, selepas itu dia terus diam hingga sekarang,” katanya.

Menurut Rita, selepas sekian lama Aidil menyepi dia ada menerima beberapa kali panggilan dan mesej daripada nombor tidak dikenali namun apabila ditanya pemanggil itu tidak memberi maklum balas.

“Saya jenis tak jawab panggilan yang tidak dikenali. Apabila nombor sama mesej mahu bertemu anak, saya balas dan tanya siapa. Namun, orang itu terus membisu seribu bahasa. “Apabila saya cuba menghubungi semula, nombor itu tak ada dalam perkhidmatan. Beberapa kali perkara ini berulang, hingga saya malas nak layan lagi,” katanya.

Dalam masa sama, Rita berharap Aidil dan keluarga memikirkan perasaan Rayyan dan Arjuna yang merindui belaian dan kasih sayang seorang bapa.

“Saya tahu anak-anak nak sangat bertemu Daddy mereka. Selalu mereka bertanya bila boleh jumpa sampai saya tak tahu nak jawab macam mana. Sekali dua boleh pujuk, kalau dah banyak kali saya tunjuk wajah ayah mereka di kaca TV.

“Walaupun hanya menonton di TV, sedikit sebanyak dapatlah ubat rindu anak-anak,” katanya.

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: