Tmj Kad

Pengadil Patut Bagi Kad Pemain Yang Melengahkan Perlawanan – TMJ

Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengakui kecewa terhadap tindakan beberapa pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) yang cuba melengah-lengahkan masa perlawanan ketika aksi pusingan kedua Piala FA berdepan Sabah di Stadium Likas, semalam.

Malah, tindakan itu juga didakwa menjadi antara faktor segelintir penyokong tuan rumah mencetuskan sedikit kekecohan, selepas perlawanan yang menyaksikan JDT menang 2-1 ke atas skuad Sang Badak.

[AdSense-B]

TMJ menerusi kenyataan di laman Facebook rasmi kelab, JOHOR Southern Tigers berpendapat, pengadil perlu memberikan kad kepada mana-mana pemain yang melengah-lengahkan masa perlawanan tanpa mengira pasukan mana yang diwakili mereka.

“Itu adalah penyakit di Malaysia yang perlu kita tangani dan hapuskan. Sudah lama kita lihat apabila pasukan yang sedang mendahului, mereka mesti cuba untuk membuang dan melengahkan masa.

“Saya berharap mentaliti seperti ini tidak perlu ada dalam bola sepak tanah air ini,” kata TMJ yang juga pemilik Kelab Bolasepak JDT.

JDT yang juga juara Piala FA 2016 bangkit daripada ketinggalan satu gol hasil jaringan Gilhoon Lee pada minit ke-23 sebelum Luciano Figueroa menyamakan kedudukan, tujuh minit selepas bersambung babak kedua.

Gonzalo Cabrera muncul wira JDT apabila jaringannya pada masa tambahan (minit ke-95) membawa skuad Harimau Selatan ke pusingan ketiga Piala FA.

[AdSense-B]

Bagaimanapun, perlawanan itu dicemari dengan sedikit kekecohan yang menyaksikan segelintir penyokong bertindak membaling objek ke arah pemain JDT ketika mereka cuba masuk ke bilik persalinan selepas tamat perlawanan.

Selain itu, TMJ tetap mengucapkan tahniah kepada skuad kendalian Jelius Ating yang memberikan saingan sengit hingga menyukarkan tugas JDT sebelum meraih kemenangan.

“Saya ingin mengucapkan syabas kepada pasukan Sabah. Pemain mereka bermain dengan semangat juang yang baik dan menyukarkan kerja kami untuk memenangi perlawanan pada malam ini (semalam).

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada penyokong Sabah yang melayan kami dengan baik,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Baca juga: VIDEO RANGKUMAN: Piala FA 2018, Sabah 1 JDT 2

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: