
Piala AFC 2017: JDT 4 Global FC 0, laporan dan video highlights
JDT merampas kedudukan pendahulu kumpulan F setelah menumpaskan pencabar terdekat, Global FC 4-0 dalam saingan peringkat kumpulan Piala AFC di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin. Beraksi di hadapan penyokong sendiri ternyata memberikan kelebihan kepada skuad kendalian Benjamin Mora apabila berjaya memperoleh dua gol hasil jaringan Mahali Jasuli dan Safiq Rahim hanya pada babak pertama permainan.
Harimau Selatan yang terpaksa bermula perlahan ekoran menyesuaikan diri dengan pertukaran pemain menjadikan aksi kelihatan hambar namun dilihat bangkit memberi tentangan 20 minit selepas wisel pertama dibunyikan. Gawang tuan rumah terlebih dahulu diuji apabila penyerang lawan, Hikaru Minegishi yang berjaya membolosi barisan ‘back four’ sekali gus melepaskan sepakan ke arah jaring gol tetapi dinafikan pengadil perlawanan kerana ‘offside’.
Tirai jaringan akhirnya dibuka tuan rumah, apabila pertahanan JDT, Mahali Jasuli meledak rambatan kencang dari luar kotak penalti pada minit ke-30 hasil hantaran Safiq Rahim gagal ditepis penjaga gol. Safiq Rahim sekali lagi memainkan peranan penting pada permaian tersebut apabila menyempurnakan sepakan penalti yang diberikan pengadil setelah Hazwan Bakri dikasari Manuel Santos Aguinaldo pada minit ke-33.
Pasukan lawan kemudiannya cuba memberi tentangan balas dengan melancarkan serangan balas namun sekadar terhenti di bahagian tengah apabila gagal menembusi kekentalan benteng pertahanan JDT. Bermula babak kedua, JDT sekali pagi mengasak gawang lawan menerusi gerakan cantik yang dihasilkan Gabriel Guerra dan Hazwan Bakri namun gagal menemui sebarang penyudah.
Gabriel Guerra sekali lagi mencuri tumpuan apabila tandukannya hasil sepakan sudut yang diambil Safiq pada minit ke-69 nyaris menerjah jaring gol namun sempat dikeluarkan penjaga gol, Patrick Deyto. Buntu mencari gol, penyerang Global FC, Hikaru Minegishi kemudiannya melepaskan rembatan kencang dari luar kotak penalti pada minit ke-73 namun sepakan tersebut sekadar melepasi palang.
Peluang keemasan sekali lagi disia-siakan Global FC apabila pemain tengah, Shu Sasaki berjaya melepaskan sepakan setelah membolosi gawang JDT tetapi berjaya diselamatkan Izham Tarmizi pada minit ke-82. Belum sempat, lawan menghela nafas lega, pemain gantian Harimau Selatan, Brian Farreira menambah derita pasukan tersebut apabila dengan mudah melorongkan bola ke pintu gol selepas menerima hantaran Gabriel Guerra dua minit selepas gol ketiga.
Marcos Antonio menutup tirai perlawanan dengan gol keempat JDT apabila menanduk masuk bola hasil hantaran sepakan percuma yang diambil Gabriel Guerra pada minit kecederaan.
Kesebelasan utama:
Izham Tarmizi, Amirul Hadi Zainal, Marcos Antonio, Safiq Rahim (C) (Nazmi Faiz 90), Hazwan Bakri (S. Chanturu 76), Gonzalo Cabrera, Fazly Mazlan, Mahali Jasuli (Brian Ferreira 61), Azrif Nazrulhaq, Gabriel Guerra dan Fadhli Shas.
Pemain simpanan yang tidak diguna:
Haziq Nadzli, Aidil Zafuan, Shakir Shaari dan Dominic Tan Jun Jin
Kad kuning:
Fazly Mazlan dan Amirul Hadi Zainal.
Kedudukan kumpulan F
Video Highlights: JDT 4 Global FC 0
Baca juga: Piala AFC 2017: Kenali Global FC, Jaguh Dari Filipina