Piala AFC 2018: JDT Sasar Penamat Terbaik
Juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) menyasarkan penamat terbaik dalam kempen terakhir mereka dalam saingan Piala AFC, musim depan.
Ini selepas kelab dari Malaysia akan beraksi secara automatik dalam Liga Juara-Juara Asia (ACL) bermula musim 2019 dan tidak lagi menyertai Piala AFC.
[AdSense-B]Justeru, anak buah Ulisses Morais mahu mengekalkan reputasi cemerlang dalam saingan peringkat kedua tertinggi benua Asia itu yang menyaksikan skuad Harimau Selatan mencipta kejutan muncul juara Piala AFC pada musim 2015.
Diundi dalam Kumpulan H bersama tiga lagi pasukan iaitu Persija Jakarta (Indonesia), Song Lam Nghe An (Vietnam) dan Tampines Rovers/ Geylang International (Singapura), JDT dilihat tidak berdepan masalah melepasi halangan peringkat kumpulan buat kali keempat berturut-turut.
Penolong jurulatih JDT, Ismail Ibrahim bagaimanapun memberi amaran kepada anak buahnya supaya tidak memandang ringan cabaran peringkat kumpulan itu, apatah lagi, ia menampilkan dua pasukan baharu, Persija Jakarta dan Song Lam Nghe Han yang disifatkan memiliki kekuatan misteri.
“Walaupun aksi di peringkat kumpulan, saya ingin menegaskan ia bukan perlawanan yang mudah kerana semua pasukan yang bersaing memiliki harapan besar dan semangat juang yang tinggi untuk menjadi pencabar.
“Kita akan bertemu Persija Jakarta dan Song Lam Nghe Han buat kali pertama, jadi kita perlu lebih bersedia memandangkan kita tidak begitu mengetahui corak permainan mereka berbanding Tampines Rovers yang pernah ditemui dalam peringkat kumpulan sebelum ini.
“Dengan kempen tahun depan menjadi kempen terakhir kami di Piala AFC selepas Malaysia beroleh satu slot automatik ke ACL bagi musim 2019, sudah tentu kami mahu berikan yang terbaik.
“Malah berbekalkan persiapan rapi yang dilakukan, kami optimis dapat melakar hasil yang positif,” katanya selepas Majlis Undian Piala AFC 2018 yang berlangsung di Rumah AFC, Bukit Jalil, hari ini.
Namun, JDT masih berpeluang beraksi di ACL musim depan, namun perlu mengharungi aksi peringkat awal kedua bertemu kelab Thailand, Muangthong United dan jika melepasinya, mereka akan menempah slot ke pusingan play-off bertemu kelab dari Jepun dengan kemenangan akan memberikan mereka tiket ke saingan elit bola sepak Asia itu.
[AdSense-B]Seandainya JDT berjaya mara ke ACL, tempat mereka dalam peringkat kumpulan Piala AFC akan digantikan dengan juara Piala Malaysia 33 kali, Selangor.
Sumber: Berita Harian