Previu Liga Super 2017: JDT vs Kelantan, JDT Mahu Kemenangan Bagi Memeriahkan Pesta Menjulang Piala
‘Mohamad Norfarhan. Indra Putra Mahyuddin. Dan gollllllllll. Kelantan memusnahkan JDT 6-1’
Itulah antara bait kata dari pengulas sewaktu siaran langsung Piala Malaysia 2013 dan pastinya perlawanan tersebut masih tidak boleh dilupakan majoriti penyokong JDT.
Perlawanan Liga Super 2017 yang ke-20 ini, bakal menyaksikan pertembungan epik di antara JDT dengan pasukan dari pantai timur ‘The Red Warrior’ yang suatu ketika pernah menjadi gergasi bolasepak Malaysia sebelum menjadi tidak bermaya.
Perlawanan yang akan berlangsung di stadium keramat Harimau Selatan iaitu Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos Larkin yang sudah berwajah baharu dengan penambahan landskap yang pastinya menggamit mata lensa dan memakukan pancaindera yang memandang.
[AdSense-B]Pada tahun ini tidak banyak perlawanan yang berlaku di antara kedua-dua pasukan. Kali terakhir adalah pada April yang lalu yang berlangsung di Kelantan di mana Kelantan tewas dengan keputusan 2 berbalas 3.
KELANTAN MENDAPAT TONIK DATIN BIBI RAMJANI, JDT MENDAPAT TONIK UNTUK MENJULANG PIALA KEEMPAT
Sudah pasti kedua-dua pasukan mempunyai kelebihan tersendiri untuk memastikan kemenangan diperoleh di pihak mereka. Secara amnya, kedua-dua pasukan seimbang dari segi kekuatan pemain dan mental.
Di kem Kelantan mereka baru sahaja mendapat seorang presiden baharu. Menurut video laman page presiden, penulis yakin moral pemain Kelantan kembali meningkat dan wajah cuka yang sentiasa ditampilkan mereka sebelum ini bertukar menjadi ceria ekoran mereka akan mendapat kembali duit gaji mereka yang sudah tertangguh dari bulan Julai yang lalu.
JDT pula sudah mempersiapkan diri mereka untuk meraikan pesta menjulang piala sejak dari minggu lalu. Itu sedikit sebanyak memberi kesan psikologi yang positif di dalam oblangata setiap pemain JDT yang pastinya mahukan rekod kebal Larkin dikekalkan di samping tidak mahu hilang mood untuk bergembira andai kata mereka tewas dengan Kelantan.
KELANTAN BAKAL BERTEMU ‘BEAST’ YANG DICIPTA MEREKA
Kelantan bukan lah asing dalam melahirkan penyerang berprofil tinggi dan Mohamad Ghaddar adalah salah seorang dari mereka. Namun patah tumbuh hilang berganti.
Pastinya ia akan menjadi momen yang agak menyukarkan bagi Ghaddar namun beliau harus professional dalam perlawanan esok. Lihat saja bagaimana rakusnya aksi Romelu Lukaku apabila menerima kunjungan The Toffees, bekas kelab lamanya.
[AdSense-B]Beliau sedar beliau harus segera ‘move on’ dan menjadi rasional kerana beliau kini berkhidmat di bawah majikan, pengurusan dan pemain yang berlainan. Jadi tiada alasan untuk bermain buruk, malah bagi penulis seseorang bekas pemain itu harus menunjukkan kemampuan sebenar bagi menunjuk pada bekas majikan bahawasanya mereka sedang menikmati saat indah di rumah baharu.
KELANTAN TIDAK PERNAH MENANG DI LARKIN
Rekod “Head to Head” menyaksikan sejak 2013 kesemua perlawanan di antara Johor Darul Ta’zim dengan Kelantan di Stadium Larkin berpihak kepada pasukan yang berpangkalan di selatan tanah air. JDT mencatatkan 100% kemenangan keatas Kelantan di Stadium Larkin.
Adakah kali ini Kelantan berjaya memecahkan rekod tersebut? Jika dilihat melalui data yang dikumpul oleh penulis serta beberapa rakan yang lain, prestasi Kelantan tidak memungkinkan untuk mereka menang di Larkin.
JDT yang sudah mencipta kemenangan demi kemenangan di samping hampir kesemua prestasi pemain semakin meningkat, menyempitkan lagi peluang Kelantan untuk melakukan kejutan. Benar tidak salah untuk berangan-angan besar, tapi peribahasa Melayu pernah berkata ukur baju biarlah di badan sendiri.
SAFAWI RASID SEWAJARNYA DITURUNKAN
Semenjak kehadiran Mohamad Ghaddar dan Natxo Insa, jelas hanya Gabriel Guerra sahaja yang sedang mengalami kemerosotan prestasi. Penulis tidak pasti adakah ada faktor dalaman lain yang mendorong kejatuhan prestasi beliau tapi yang pastinya kehadiran dua orang baru tersebut menyebabkan Guerra terasa kedudukan beliau untuk menjadi pemain terhebat JDT tercabar.
Penulis lebih cenderung kepada Safawi Rasid berbanding R.Gopinathan di atas beberapa sebab. Salah satu sebab tersebut ialah Safawi mampu menyesuaikan diri di dalam taktikal jurulatih Morais.
[AdSense-B]Buktinya peningkatan pretasi secara mendadak sehingga kita boleh lihat beliau adalah antara pemain yang banyak melakukan gerak-gerak bahaya semasa mewakili Malaysia di dalam kejohanan Sukan Sea yang lalu. Di samping itu, beliau bukanlah seorang pemain sayap klasik seperti Gopinathan yang hanya pandai berlari laju.
Selain itu, faktor usia. Di waktu yang muda ini sudah pastinya merupakan masa yang sesuai untuk mengembangkan lagi potensi Safawi berbanding Gopinathan yang sudah semakin dimamah usia.
KESIMPULAN
Akhir kata mari bersama kita ke stadium bagi menyaksikan perlawanan di antara JDT dan Kelantan sekali gus kita bersama-sama meraikan kejuaraan pasukan kesayangan kita untuk kali yang ke empat berturut-turut. Sejarah baru telah dicipta oleh Johor Darut Ta’zim.
Dahulu tidak bertempat,
Sekarang nama sudah terpahat,
Ngauman selatan ngauman keramat,
Tahniah JDT untuk kali ke empat.
Baca juga: Inilah Trofi Yang Akan Dijulang Oleh JDT Malam Esok