Tampines Rovers Vs Jdt

Raul Longhi Janji JDT Bangkit Di Larkin

Jurulatih sementara Johor Darul Ta’zim (JDT), Raul Longhi menjanjikan peningkatan pasukannya apabila berdepan Tampines Rovers pada pusingan kedua Kumpulan H saingan Piala AFC di Stadium Larkin, 14 Mac ini.

Longhi juga berjanji akan memperbaiki bahagian pertahanannya agar tampil lebih ampuh dengan corak permainan serta strategi lebih agresif bagi memburu kemenangan di laman sendiri.

[AdSense-B]

“Mengenai perlawanan semalam, kami mempunyai sedikit masalah di bahagian tengah pertahanan dan kami perlu mengubahnya. Para pemain cuba bermain dengan mengunakan taktikal hantaran pendek dalam perlawanan ini dan ia agak sedikit sukar di atas padang sintetik.

“Namun inilah bola sepak. Tapi saya juga menjangkakan Tampines Rovers akan mengalami sedikit kesukaran untuk bermain di padang kami memandangkan mereka sentiasa bermain di atas padang sintetik.

“Walaubagaimanapun kami akan cuba sehabis baik untuk memenangi tiga mata penuh dalam perlawanan bertemu Tampines Rovers di Larkin nanti,” katanya.

Pada aksi di Stadium Jalan Besar itu, JDT berjaya mencuri satu mata selepas terikat tanpa jaringan dengan Tampines Rovers.

Keputusan itu menyaksikan skuad Harimau Selatan kini berada di kedudukan kedua kumpulan dan berkongsi empat mata bersama kelab Indonesia, Persija Jakarta yang menghuni tangga ketiga.

Longhi mengakui tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut namun tetap gembira dengan kesungguhan pemain untuk mencari gol sekalipun mereka gagal menyempurnakan peluang yang terhidang.

[AdSense-B]

“Perlawanan bertemu Tampines Rovers merupakan satu perlawanan yang sukar. Kami mempunyai banyak masalah seperti beberapa pemain mengalami kecederaan. Namun JDT tetap berusaha untuk bangkit bagi meneruskan perlawanan dan melakukan serangan.

“Penjaga gol mereka juga sering memberikan bola jauh dan ia baik untuk kami namun kami tidak mempunyai banyak peluang pada separuh masa kedua.

“Saya berasa amat gembira dengan percubaan para pemain pada perlawanan ini namun saya tetap tidak berpuas hati dengan keputusan keseluruhan,” tambah pengendali kelahiran Argentina itu.

Sumber: Sinar Harian

Baca juga: Terengganu FC Tetap Waspada Bertemu JDT

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: