Raul Longhi Puji Aksi Anak Watan
Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Raul Longhi menyifatkan kemenangan 2-1 ke atas Tampines Rovers pada aksi Kumpulan H saingan Piala AFC Zon ASEAN di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi hasil daripada kerjasama berpasukan biarpun beraksi tanpa kelibat pemain import.
Malah katanya, komitmen tinggi dipamerkan pemain tempatan menyaksikan mereka menguasai permainan sehingga menyukarkan kelab Singapura itu untuk bersaing.
[AdSense-B]“Namun apabila Tampines Rovers menjaringkan gol penyamaan menerusi sepakan penalti pada penghujung babak pertama, kami agak tertekan. Tapi selepas rehat, kami kembali menguasai perlawanan dengan memiliki tiga peluang terbaik menjaringkan gol.
“Sasaran tiga mata menjadi kenyataan dan saya amat berpuas hati. Pemain layak menang kerana mereka tidak pernah berputus asa dengan mempamerkan semangat juang tinggi untuk mencapai kemenangan,” katanya.
Longhi menegaskan benteng Tampines Rovers yang diterajui Daniel Bennett dan Fahrudin Mustafic menggunakan pengalaman mereka untuk menghalang beberapa percubaan berbahaya JDT, namun dua gol daripada Safawi Rasid dan Ahmad Hazwan Bakri sudah memadai buat skuad Harimau Selatan.
Ditanya mengenai tindakannya mengeluarkan kapten Safiq Rahim pada pertengahan babak kedua, Longhi menegaskan ia lebih kepada perancangan taktikal kerana mahu merehatkan pemain itu untuk aksi pusingan ketiga Piala FA menentang UiTM FC, Sabtu ini.
[AdSense-B]Beliau juga menambah penggantian pemain itu lumrah kerana formasi babak pertama adalah 4-3-3 dan kemudian apabila memasukkan Hariss Harun bagi menggantik Safiq, ia berubah kepada 4-2-3-1.
“Apa yang pasti, kemenangan itu menaikkan moral pemain untuk aksi Piala FA dan kami akan membuat persiapan rapi walaupun memiliki tempoh rehat singkat sebelum bertandang ke Shah Alam nanti,” kata Longhi.
Sumber: Berita Harian
Baca juga: 3 Pasukan Terikat Mata, Bagaimana JDT Boleh Berada Di Tempat Ke-3?