Resepi Puding Buah Naga Susu Paling Mudah & Sedap

Resepi Puding Buah Naga Susu Paling Mudah & Sedap (Dragon Fruit)

Ketika cuaca panas tekak pasti terasa haus dan inginkan sesuatu makanan yang sejuk atau mempunyai ais, apatah lagi jika berada di hujung minggu, tentunya macam-macam makanan yang kita nak makan. Apa kata anda cuba buat sendiri pencuci mulut iaitu agar-agar berasaskan buah naga atau dragon fruit yang kami kongsikan iaitu resepi puding buah naga susu yang sedap dan mudah ini.

Makanan pencuci mulut seperti puding buah-buahan ini biasanya amat disukai oleh kanak-kanak dan tak kurang juga orang dewasa. Lebih-lebih lagi buah dragon fruit ini rasanya sangat manis dan sedap. Resepi puding buah naga susu ini dikongsikan oleh Puan Nurhayati Abd Malek menerusi laman facebook.

Resepi Puding Buah Naga Susu Simple & Sedap

Sebelum anda membuat puding buah naga ini, anda wajib tahu tentang info penting yang disampaikan oleh Puan Nurhayati iaitu, bancuhan agar-agar bertali lihat cara buat di belakang paket. Yang saya gunakan, meminta saya bancuh 1500 mls air. Jadi saya bahagikan dua 750 mls campur 750 susu cair. Cara masak puding buah naga susu ini, anda boleh lihat seperti di bawah.

Bahan-bahan Puding Buah Naga

1 biji buah naga (isi merah)
1 paket agar-agar bertali 20 gram
750 mls susu cair
750 mls air kosong
1 cawan gula kastor (boleh kurangkan)
Nota : Untuk resepi puding buah naga ni, saya guna loyang 7 inci.

Mula-mula, buah dragon fruit ni potong dulu kecik-kecik. Ikut lah nak potong memanjang ke dadu ke janji boleh muat masuk mulut. Dah siap, ketepikan dulu.

Dalam periuk, masukkan agar-agar dan juga air dahulu. Buka api dan kacau sedikit hingga agar-agar tadi cair dan mendidih.

Bila tali agar-agar tadi dah mencair kesemuanya, masukkan pula susu cair. Kacau lagi susu ni supaya tak hangit. Api kena jaga.

Apabila dah sebati boleh masukkan gula ikut citarasa kalian. Saya tulis je 1 cawan, boleh kurang kan. Boleh rasa sikit. Kalau kurang manis puding buah naga, tambahlah gula. Kalau dah cukup, tak perlu tambah.

Kacau hingga gula sebati.

Masukkan buah naga atau dragon fruit itu tadi yang telah siap dipotong mengikut citarasa masing-masing.

Kacau lagi, kerja kita kalau buat puding buah naga ni memang kena selalu kacau, kalau tak berketul lah nanti. Kemudian tutup api dan masukkan dalam loyang yang disediakan tadi.

Biarkan sekejap supaya sejuk, kemudian masukkan ke dalam peti ais anda.

Tat-tadaaa! Inilah resepi puding buah naga susu. Siaplah sudah puding buah naga kita! Sedap makan waktu sejuk. Ah, segar tekak.

Beginilah puding buah naga bila dah potong, anak-anak dah ready kat depan tv. Mak dia dah ambik 2-3 potong, cukai. Haha!

Resepi puding buah naga susu yang dikongsikan Puan Nurhayati Abd Malek ini rupanya senang sangat nak buat dan hasilnya juga sangat menyelerakan ditambah dengan warnanya yang cantik memukau. Selain buah dragon fruit merah anda boleh juga menggunakan buah naga yang isi berwarna putih dan rasanya mungkin agak berlainan.

Untuk resepi puding buah naga susu ini, selain susu anda boleh juga menggantikan dengan santan kelapa dan apa saja bahan-bahan yang ingin anda buat atau olah adalah mengikut kreativiti anda sendiri. Anda boleh juga letakkan topping seperti serbuk biskut coklat, strawberry dan lain-lain. Selamat mencuba.

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: