Ringgit Dijangka Terus Susut

Ringgit dijangka terus susut berbanding dolar AS minggu depan

RINGGIT diunjurkan meneruskan aliran penyusutannya berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada minggu depan kerana mata wang AS itu dijangka kekal dominan di dalam persekitaran kebimbangan inflasi yang semakin meningkat.

Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, kemelesetan terus menguasai pasaran secara global, tumpuan makro akan diberikan pada komponen jangkaan inflasi berdasarkan kepada kaji selidik mengenai keyakinan yang dikeluarkan University of Michigan.

Innes berpendapat kaji selidik itu boleh menentukan pergerakan ringgit dibuka minggu depan.

Data tersebut boleh mendorong Rizab Persekutuan (Fed) AS untuk menaikkan kadar faedah sebanyak 100 mata asas (bps) jika bacaan inflasi meningkat tinggi dan ia akan memberikan sokongan kepada dolar AS.

“Risiko besar bagi pasaran global ialah sama ada (paip gas asli luar pesisir) bekalan gas Nord Stream 1 ke Eropah disambung semula pada 22 Julai. Jika ia berlaku, risiko akan bertambah baik secara mendadak dan ringgit akan meningkat.

“Tetapi saya rasa ringgit akan didagangkan lemah sehingga kami mendapat pengesahan mengenai aliran gas Nord Stream 1. Jika Rusia menghentikan semua bekalan gas, gelombang kejutan kemelesetan yang didorong oleh Kesatuan Eropah akan menjejaskan seluruh dunia,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, melihat kepada keadaan turun naik, ringgit dijangka diniagakan dalam lingkungan RM4.45-RM4.47.

Innes berkata, pasaran juga berkemungkinan mengalami dagangan berhati-hati menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada 27-28 Julai 2022.

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: