RM100,000 ‘harga’ Emas Qabil Ambak Di Hangzhou

RM100,000 ‘harga’ emas Qabil Ambak di Hangzhou

SEPANG: Seratus ribu ringgit.

Itu ‘harga mahal’ yang dikeluarkan Persatuan Ekuestrian Malaysia (EAM) untuk menjelmakan pingat emas bersejarah buat Malaysia dalam Sukan Asia 2022 di Hangzhou.

Menurut Presiden EAM, Tan Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman, jumlah tersebut adalah kos menerbangkan Rosentolz, kuda yang digunakan Mohd. Qabil Ambak Mahamad Fathil ketika meraih emas acara dressage dari Eropah ke China.

Kata Abdul Aziz, kuda tersebut milik Qabil tetapi dilatih di Eropah.

“Kita bersetuju menanggung kos membawa kuda dari Eropah ke China, kita sanggup buat demikian kerana sedar potensi kuda itu,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ­semalam.

Pada 28 September lalu, Qabil, 43, memahat sejarah muncul atlet Malaysia pertama memenangi pingat emas ekuestrian sejak sukan tersebut diperkenalkan dalam Sukan Asia di Seoul, Korea Selatan pada 1986.

Menurut Abdul Aziz, kejayaan Qabil yang muncul juara dengan 75.780 mata memberi petanda positif untuk memperkembangkan sukan tersebut.

Begitupun, EAM amat memerlukan sokongan pelbagai pihak, terutama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi me­nyalur peruntukan.

“Kita ada 22 persatuan ekuestrian yang bernaung di bawah EAM, dari situ kita mencari bakat-bakat muda yang amat memerlukan pendedahan antarabangsa.

“Selain bakat di peringkat akar umbi, kita juga memerlukan dua, tiga ekor kuda yang mempunyai stamina, gaya dan baka yang hebat,” ujarnya.
Kata Abdul Aziz, bakat-bakat muda yang telah dikesan oleh EAM rata-rata bukanlah berasal dalam kalangan golongan elit.

“Mereka yang pandai-pandai ini, kebanyakannya datang dari bawah, mereka yang jaga kuda itu, jadi potensi tersebut ada pada anak-anak muda tersebut,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: