Suami

Rumah Tangga Akan Huru-Hara Kalau Suami Sudah Terjebak Dengan 5 Masalah Ini

Suami tiba-tiba berperangai pelik, tidak seperti kebiasaannya yang suka berjenaka lagi lembut bahasa tapi kali ini suami menjadi agak ‘panas’ dan sensitif.

Isteri cuba memahami keadaan, malangnya semakin hari semakin sakit jiwanya menghadapi suami yang mula tak bersahabat. Bagaimana dia boleh berubah sikap menjadi begitu stres bila pulang ke rumah? Apakah kerana isteri melayan sambil lewa atau ada sebab-sebab lain yang lebih dahsyat impaknya?

1. Solat dan Allah di letak belakang

Akhlak suami kepada isteri hakikatnya bergantung dengan keimanan dan kedekatan kepada Allah SWT. Suami yang ingat Allah pasti dekat dan ingat juga pada keluarga, suami yang jauh dari Allah sudah tentu susah mendapatkan kenikmatan berdekatan dengan keluarganya.

Cubalah cari penawar suami yang cepat ‘panas’ dan sensitif dengan menilai hubungannya kepada Allah SWT. Kalau solat pun sudah mula diringan-ringankan, diakhir-akhirkan waktunya, diabaikan khusyuknya sudah semestinya akhlak dan sikap kita akan serabut tak tentu hala tuju.

Inilah punca lahirnya suami-suami yang lupa diri sebagaimana firmanNya yang bermaksud: “Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang melupakan Allah lalu Allah menjadikan mereka lupa kepada diri mereka sendiri. Mereka itulah orang-orang yang fasiq.” (Surah al-Hasyr ayat: 19)

2. Ujian dunia

Suami yang sedang stres sebenarnya pernah menjadi jeneral perang yang melindungi keluarganya dari kejahatan duniawi. Dia memiliki pedang yang tajam iaitu ilmu mengenal Allah yang boleh memutuskan setiap urat-urat dunia yang cuba masuk menaklukkan jiwa. Jika dia kalah sudah tentu disebabkan pedang ilmunya yang tumpul, lama menyepi dari majlis agama. Dia juga kalah oleh kesibukan sendiri walaupun sebenarnya dia boleh memberi prioriti untuk ilmu sebagaimana yang dia boleh beri untuk berbasikal atau bersosial di dunia maya.

Kenapa untuk main futsal boleh dihabiskan 2 jam tetapi untuk mendengar kuliah maghrib yang tak sampai satu jam pun sukar ditempuhi? Ujian dunia biasanya berakhir dengan menangnya nafsu mengikuti kejahatan. Suami yang sensitif sebenarnya terlalu sibuk melayan dunianya sendiri sehingga tak peduli masalah keluarga. Jika suami memenangi perlawanan dengan dunia sungguh dia akan memiliki hati yang penuh ilmu sehingga tidak ada ruang di dalamnya untuk berasa sensitif.

3. Minta Layanan Lebih

Marahnya suami sebenarnya satu refleksi diri yang kurang disentuh isteri, stres yang dialami merupakan punca rindu yang diabaikan. Hati suami yang cepat terkilan selalunya disebabkan oleh kehilangan sikap isteri yang penyayang. Suami bukan robot yang hanya perlukan kawalan remote, dia memiliki jiwa yang mahu dilayan dengan mesra, diraikan dan dihargai.

Malangnya isteri anggap suami tak pandai menjaga hati, suami pula berpendapat isteri yang selalunya kurang bersyukur dan banyak komplen. Layanlah dengan penuh rasa kasih sayang jika mahu dibalas dengan ganjaran yang sama. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.” (QS. Al Rûm [30]: 21)

4. Sibuk sangat dengan cari rezeki

Kerjaya merupakan faktor penyumbang terbesar dalam membentuk racun-racun stres di jiwa manusia. Kerjaya seperti medan perang yang boleh mencederakan seseorang. Janganlah fikir urusan kerja di rumah terlalu kerap. Suami boleh berubah mood bila meja kerjanya berlonggok fail, utamakan ahli keluarga sebelum kerjaya. Bahagia itu bukan tentang berapa banyak wang yang dilaburkan tetapi berapa kerap layanan seseorang untuk keluarganya, tanpa syarat.

5. Gangguan manusia lain

Jika suami ditohmah, dicela, dituduh sehingga viral, dibuli oleh manusia ia tidak mengapa asalkan isteri melayannya sepenuh ikhlas, tetapi jika apa yang dihadapi begitu mencabar sebaik-baiknya carilah rumah Allah untuk berteduh jiwa dan raga. Jika para suami melihat pengorbanan isteri menuju Allah SWT nescaya mereka tidak berkecil hati jika isteri merungut, tidak menghina jika isteri bertanya, tidak menggelegak darah kerana marah tapi mengalir lancar kerana yakin ditolong Tuhan.

Penawar bagi kelima-lima masalah ini telah terkandung dalam ayat al-Quran yang bermaksud: “Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauhul Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berduka cita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri, (Surah al Hadid ayat 22-23).

Semoga perkongsian ini bermanfaat buat semua pembaca untuk ikat rumah tangga lebih kuat dan mampu tepis segala ujian yang bakal tiba. In shaa Allah…

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: