Safawi Rasid Anggap Saingan Sihat Merebut Tempat Penyerang Malaysia B23
Penyerang skuad Bawah 23 tahun negara (B-23), Safawi Rasid tidak melihat lima pencabar bagi merebut tempat selaku penggempur utama pasukan itu sebagai satu ancaman terhadap dirinya.
Sebaliknya, penyerang muda Johor Darul Ta’zim (JDT) itu menyifatkan kehadiran rakan sepasukan terbabit mewujudkan persaingan sihat sekali gus dapat ‘memaksa’ dirinya untuk memberikan yang terbaik bagi memastikan tempatnya dalam pasukan terjamin.
[AdSense-B]“Semua penyerang memiliki kelebihan masing-masing tambahan pula dengan kemasukan pemain skuad Bawah 19 tahun (B-19) seperti Hadi Fayyadh dan Akhyar Rashid sekali gus menjadikan persaingan merebut tempat menjadi lebih mencabar.
“Saya melihat situasi ini daripada sudut positif kerana ia membuatkan saya menjadi lebih bersemangat untuk memberikan persembahan yang lebih baik pada sesi latihan dan beberapa perlawanan persahabatan yang akan diharungi nanti,” kata Safawi Rasid.
Selain Hadi dan Akhyar, anak kelahiran Dungun itu perlu bersaing dengan tiga lagi penyerang iaitu Jafri Firdaus Chew, N Thanabalan dan R Kogileswaran yang menyaksikan salah seorang daripada mereka berkemungkinan digugurkan sebelum ke Kejuaraan B-23 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018 di China, bulan depan.
Dalam masa sama, Pemain Muda Harapan Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2016 (ABK2016) itu turut melihat saingan di pentas tertinggi benua Asia itu sebagai medan terbaik memperagakan prestasi terbaiknya.
[AdSense-B]“Kejuaraan B-23 AFC 2018 adalah satu pentas besar dan saya teruja apabila kami berjaya sampai sehingga ke tahap itu. Mungkin inilah peluang terbaik unuk menunjukkan bakat sebenar kepada penyokong bola sepak tempatan.
“Tiada sasaran peribadi yang diletakkan kerana bola sepak sukan yang memerlukan semangat berpasukan. Jadi, kita perlu sentiasa kekal dengan semangat berpasukan supaya dapat meraih kejayaan pada kejohanan itu nanti,” katanya.
Sumber: Berita Harian
Baca juga: Umur Hanyalah Sekadar Nombor Buat Luciano Figueroa