Hukum Suami Isteri Asyik Tayang Video Dan Gambar Aksi Mesra Di Media Sosial

Suami Isteri Asyik Tayang Video & Gambar Aksi Mesra Di Media Sosial, Ini Hukumnya

Tidak menjadi satu masalah sekiranya seorang suami peluk isteri dan bercumbu kerana sudah halal dan untuk menyemarakkan lagi kasih sayang.

Menjadi masalah apabila menayang gambar atau video bermesra tersebut di media sosial dan di hadapan khalayak ramai tanpa ada rasa malu. Walau bagaimanapun, Islam amat mengambil berat isu ini kerana membabitkan kehormatan dan maruah suami isteri.

PELUK ISTERI & BERCUMBU TAPI TAYANG DI MEDIA SOSIAL

Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, seseorang itu perlu ada rasa malu kerana itu merupakan salah satu cabang dari iman.

Sabda Nabi SAW:

الْإِيمَانُ بِضْعٌ وَسَبْعُونَ شُعْبَةً، وَالْحَيَاءُ شُعْبَةٌ مِنَ الْإِيمَانِ

Maksudnya: “Iman itu ada tujuh puluh lebih cabang. Dan rasa malu salah satu cabang dari iman.” (Riwayat Muslim, no. 35)

Menurut Imam an-Nawawi rasa malu yang dimaksudkan adalah akhlak terpuji yang mendorong seseorang untuk meninggalkan sesuatu yang buruk dan mencegahnya dari kelalaian dalam memenuhi hak para pemiliknya.

Selain itu, antara perkara yang boleh menjatuhkan iman dan maruah seseorang adalah mencium isteri di khalayak ramai. Perlu diingatkan bahawa perbuatan suami isteri bercumbu di khalayak ramai dan juga media sosial bercanggah dengan adab Muslim.

Menzahirkan rasa cinta kepada pasangan masing-masing melalui sentuhan dan kata-kata adalah perkara biasa. Sekiranya ingin berlebihan, cukuplah sekadar untuk tontonan sendiri dan tidak perlu dimuat naik di media sosial.

Elakkan berkongsi sebarang adegan tidak bersesuaian di media sosial kerana risau boleh menimbulkan fitnah, keraguan dan perbincangan dalam kalangan masyarakat.

Sesungguhnya sifat malu tidaklah mendatangkan apa-apa kecuali hanya kebaikan.

Semoga bermanfaat.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: