Syafiq Ahmad Malaysia

Syafiq Tak Kisah Pemilihannya Dipertikai

Kritikan segelintir penyokong yang tidak berpuas hati dengan pemilihannya ke dalam skuad kebangsaan tidak melemahkan semangat Syafiq Ahmad sebaliknya disambut sebagai satu cabaran.

Penyerang muda Johor Darul Ta’zim (JDT) itu bertekad membuktikan pilihan jurulatih, Tan Cheng Hoe sebagai tepat sekali gus mahu membalas kepercayaan pengendali Harimau Malaya itu dengan prestasi terbaik.

“Saya sedar ada peminat yang mempertikaikan pemilihan beberapa pemain termasuk saya. Tapi, saya tidak kecil hati kerana mereka berhak memberi pandangan, malah, ia membakar semangat saya.

[AdSense-B]

“Apa yang lebih penting, jurulatih mempercayai kemampuan saya. Sebagai pemain, tugas saya sekarang adalah memberikan persembahan terbaik bagi membalas kepercayaan beliau,” kata Syafiq.

Cheng Hoe menjadi mangsa kecaman penyokong kerana dianggap memilih pemain yang tidak layak menyarung jersi Harimau Malaya dengan pemilihan lima pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Nazmi Faiz Mansor, Darren Lok, Afiq Fazail, Fazly Mazlan dan Syafiq.

Mereka mempersoalkan bagaimana kelima-lima pemain itu yang sekadar memanaskan bangku simpanan atau mewakili JDT II yang kini menghuni tangga tercorot Liga Perdana boleh dipilih sedangkan pemain seperti Nazirul Naim Che Hashim (Perak) dan Qayyum Marjoni Sabil (PKNS FC) yang menjadi pemain utama pasukan masing-masing disisihkan.

Kemampuan Harimau Malaya asuhan Cheng Hoe akan dapat dinilai apabila mereka turun dalam perlawanan persahabatan menentang Mongolia di ibu negara pada 22 Mac ini, disusuli perlawanan kelayakan Piala Asia bertemu Lubnan pada 27 Mac.

Sementara itu, Syafiq turut menganggap pemilihannya ke dalam skuad kebangsaan sebagai penebus kekecewaan selepas digugurkan oleh Datuk Ong Kim Swee daripada skuad ke kejohanan Piala AFC, Bawah 23 Tahun di China, Januari lalu.

Syafiq diketepikan selepas gagal melaporkan diri ke kem latihan kerana menguruskan perkahwinannya. Skuad remaja bimbingan Kim Swee itu melakar sejarah apabila layak ke suku akhir kejohanan berkenaan.

[AdSense-B]

“Saya memang kecewa bila digugurkan kerana ingin sangat beraksi di sana memandangkan pertama kali kita layak ke kejohanan itu. Tapi, rezeki saya rupa-rupanya bersama skuad senior. Saya tidak akan lepaskan peluang ini,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Baca juga: Raul Longhi Kurang Senang Dengan Sikap Sambil Lewa Pemain JDT

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: