Anda Pasti Tak Abaikan Memberus Lidah Selepas Ketahui Fakta Ini
Bila kali terakhir anda menggosok lidah? Kebiasaanya, ramai di antara kita hanya menggosok gigi, 2 kali sehari, selepas bangun tidur dan sebelum tidur. Ada juga yang menggosok gigi anda setiap kali makan, dan flos-kan celah gigi sebelum masuk tidur. Namun, jika anda tidak mengambil masa beberapa minit dalam 24 jam masa yang anda ada sehari untuk menggosok lidah anda, anda akan mengundang beberapa masalah kepada mulut anda, dan kemungkinan lebih daripada itu.
“Lebih daripada 700 jenis spesis bakteria tinggal di atas lidah,” terang Vera W.L. Tang, D.D.S (Doktor gigi), penolong profesor klinikal di jabatan periodontic dan implan pergigian di Universiti New York. Bukan semua mikroorganisma ini berbahaya, tetapi apabila bakteria-bakteria bahaya tersebut bercambah dan membiak di celah-celah sekitar papila, atau lebam kecil, pada permukaan lidah, ia boleh menyebabkan kerosakan pada lidah.
Bagaimana ia boleh berlaku?
“Bayangkan lidah anda adalah sebuah span bakteria, yang menyebarkan bakteria jahat ke seluruh bahagian mulut dan gusi. Ini akan menimbulkan masalah dan penyakit, dan juga boleh mengancam nyawa anda,”
– Barbara L. McClatchtie, D.D.S
Kami ingin berkongsi dengan anda 5 masalah yang akan timbul jika anda membiarkan lidah anda tidak gosok.
1. Halitosis (Mulut berbau)
“Bau mulut yang busuk adalah masalah utama yang berkait dengan tidak menggosok lidah,” kata Steve Cook, D.D.S. Bagaimana ia boleh berlaku? Bakteria membuat sarang di atas permukaan lidah dan mula beritindak seperti mana bakteria berlebihan yang lain bertindak, iaitu mengeluarkan bau yang sangat busuk. Bakteria yang mengeluarkan bau busuk ini cenderung untuk bersembunyi di bahagian belakang lidah, dan kerana itulah sangat penting untuk menggosok di bahagian tersebut, untuk menghilangkan bau busuk.
2. Menjejaskan kepekaan deria rasa pada lidah
Apabila anda tidak memberus lidah, lapisan bakteria jahat, sisa makanan, dan sel-sel kulit mati yang dikenali sebagai biofilm akan menutup deria rasa anda. Ini akan membuatkan deria rasa pada lidah anda kurang tajam dan menjejaskan rasa makanan yang anda makan. Dengan menggosok lidah dapat menghapuskan biofilm tersebut dan membuatkan lidah anda kembali segar untuk merasa makanan dengan baik.
3. Lidah hitam yang berbulu
Ya, ini bukan cerita rekaan. Situasi ini terjadi apabila papila pada lidah anda menjadi kotor disebabkan oleh sisa-sisa makanan atau minuman, seperti kopi, dan sisa-sisa ini dibiarkan begitu sahaja tanpa dicuci. Ia menyebabkan lidah anda menjadi hitam, dan kelihatan seperti berbulu. Ia tidak berbahaya, dan apabila anda menggosok lidah anda, ia akan hilang.
4. Jangkitan kulat
Dikenali sebagai oral thrush (jangkitan kulat mulut), ia boleh berlaku apabila paras bakteria di dalam anda terlalu tinggi, kesan daripada tidak menggosok lidah. Ini menyebabkan yis yang terhasil secara semulajadi ini membiak diluar kawalan. Kesannya, tompok-tompok putih pada lidah anda. Ubat antikulat boleh mengubati situasi ini, dan memberus lidah dengan kerap dapat mengelakkan ia daripada berulang.
5. Penyakit Periodontal
Nama lain bagi penyakit ini adalah penyakit gusi. Bakteria yang membiak di atas permukaan lidah boleh tersebar ke gigi anda, yang menyebabkan gingivitis (radang gusi), atau gusi yang merah dan bengkak. Jika penyakit ini tidak dirawati, bengkak atau keradangan ini boleh berkembang menjadi penyakit gusi. Ini yang menyebabkan gusi ditarik menjauhi gigi dan ruang di antara gigi dan gusi ini akan dijangkiti. Kesan daripada situasi ini adalah gigi anda berkemungkinan akan tertanggal, dan apa yang lebih mengerikan adalah keradangan kronik yang disebabkan oleh penyakit gusi ini dikaitkan dengan peningkatan risiko sakit jantung, angin ahmar, dan juga keguguran, kata McClatchie.
Jadi, selepas membaca artikel ini, anda mungkin mahu mencapai berus gigi anda secepat yang mungkin dan menggosok lidah anda secukupnya. Cara terbaik untuk melakukannya adalah bermula dari belakang lidah anda, gosok dengan perlahan ke menghala ke hadapan, dan seterusnya dari kiri ke kanan. Anda tidak perlu menggunakan ubat gigi, namun ia lebih baik jika anda menggunakannya kerana ia akan membantu membersihkan lidah anda dengan lebih efektif, kata McClatchie. Gosok beberapa minit, dan sekurang-kurangnya sekali sehari, etapi lebih bagus untuk menggosok dua kali.
Dan juga, anda mungkin pernah terdengar mengenai pengikis lidah, yang boleh didapatkan dari farmasi pergigian atau farmasi biasa, yang direka khas untuk menghapuskan bakteria, sisa-sisa makanan, dan kotoran lain pada lidah anda. Namun, sudah cukup untuk anda bersihkan lidah anda jika anda mempunyai sebatang berus gigi.