Tangisan

Tangisan penyelamat nyawa

JOHOR BAHRU: Tangisan kuat bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan yang ditemui di tingkat satu bangunan Terminal Larkin Sentral di sini, berjaya menyelamatkan dirinya daripada mati kelaparan dalam kejadian, kelmarin.

Pelindung Kanak-kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru, Zaid Ikhwan Lim berkata, bayi berkenaan yang dipercayai dibuang ibu bapanya, ditemui seorang lelaki yang mengunjungi terminal berkenaan pada jam 3.30 petang.

Menurutnya, sebaik mendengar tangisan kanak-kanak itu lelaki berkenaan terus menghampiri dan mendapati seorang bayi lelaki ditinggalkan sebelum menghubungi polis.

“Ketika ditemui bayi lelaki itu diletak di dalam plastik yang turut mengandungi pakaian kotor. Kami belum menerima laporan rasmi berkaitan kes berkenaan namun mangsa kini mendapatkan rawatan di dalam wad Hospital Sultanah Aminah (HSA),” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais, berkata menerima maklumat saksi yang juga lelaki warga Indonesia berusia 45 tahun yang menemui bayi berkenaan.

“Lelaki itu menemui bayi berkenaan menangis di gerai kosong di tingkat 1 Terminal Larkin, dalam bungkusan plastik merah dan tangan bayi bergerak-gerak di luar plastik.

“Bayi lelaki yang bangsanya masih belum diketahui tidak berpakaian dan hanya diselimutkan menggunakan sehelai baju, manakala urinya masih berdarah dibungkus menggunakan beberapa baju-T di dalam plastik sama.

“Pemeriksaan dalam plastik merah itu tidak menemui sebarang dokumen bayi dan mangsa dibawa ke klinik An Nur di terminal itu untuk pemeriksaan sebelum dimaklumkan bayi itu sihat dan tiada sebarang kecederaan pada fizikalnya,” katanya.

Menurutnya, lokasi penemuan adalah di sudut kosong tingkat 1 Terminal Larkin yang terdapat gerai kosong dan tidak digunakan, buat masa ini tiada saksi melihat bayi berkenaan diletakkan di gerai itu.

Katanya, mangsa yang dipercayai dilahirkan kurang 24 jam ketika ditemui, dibawa ke HSA untuk pemeriksaan dan mendapatkan rawatan sebelum dirujuk ke JKM.

“Mangsa tidak mengalami kecederaan dan dipercayai berbangsa India berdasarkan kulitnya, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana meninggalkan dengan niat hendak membuang kanak-kanak berusia kurang 12 tahun dan orang ramai mempunyai maklumat diminta tampil bagi membantu siasatan,” katanya.

Penemuan bayi itu tular di Facebook (FB) Malaysian Response Team hingga menimbulkan pelbagai reaksi dengan netizen mendakwa bayi berkenaan sepatutnya berada di sisi ibu, malangnya menjadi mangsa pengabaian.

Netizen mengecam kekejaman ibu bayi berkenaan yang sanggup meletakkannya di dalam plastik bersama baju kotor dan bukannya menyerahkannya kepada pihak berkuasa.

Beberapa imej yang dipaparkan menunjukkan bayi berkenaan bukan saja dibiarkan tanpa pakaian, malah dalam keadaan kotor.

Sumber: Berita Harian

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: