Sikap Tegas Mak Ayah Bertukar Garang Disebabkan Lupa 4 Perkara Ini
Tegas dan garang sangatlah ketara bezanya. Dalam kamus, istilah tegas bererti jelas, terang dan lantang. Manakala garang pula bermakna menyerang dengan buasnya atau marah-marah dengan bengisnya.
Mak ayah tak ada ler sampai garang gitu sekali kan. Nak bertegas dengan anak demi kebaikan anak tak ada masalah. Tapi yang ramai silap hari ini adalah terlampau garang sehingga anak jadi perit. Jom kita tengok 4 perkara pencetus garang yang dikongsikan oleh Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki.
1.Menjerit-jerit
Lupa nak perlahankan volume suara, maklum banyak tenaga yang datang dari emosi sebab rasa macam tidak dipercayai atau dikhianati. Apa pun perasaan kita, kawal sebaik mungkin volume suara. Guna nada profesional seperti pembaca berita. Suara diaorang serius namun mesra walau sedang membaca berita yang lucu.
Ingatkan diri sendiri bahawa Allah tegur kita dalam surah al-Hujurat:2 supaya tidak angkat suara melebihi suara nabi. Begitu juga ingatan Allah dalam surah Luqman:19 tentang suara keldai meringkik.
2. Lupa nak tarik nafas dan senyum
Bila rasa tercabar sikit mak ayah akan cepat tarik muka sepatutnya kena tarik nafas dulu. Fikir dulu kita yang kena kawal anak sebab anak tak faham, anak degil, anak terpengaruh dengan kawan dan sebagainya. Kita lupa bahawa satu-satunya insan yang kita boleh kawal adalah diri sendiri. Bila tak dapat kawal muka kita jadi bengis, masam kelat, kening berkerut, mata jadi bulat besar, hodoh jadi nya!.
Apa yang kita pamerkan itulah yang kita dapat. Anak tengok anak jadi takut terciptalah jurang antara mak ayah dan anak, Imam Ghazali pernah berpesan untuk kita lihat wajah kita sendiri di cermin sebagai kaedah kawal diri ketika rasa nak marah-marah.
3. Lupa niat; nak terang atau nak serang
Mak ayah sering lupa kita adalah pembimbing anak, kita bukan hakim yang kena menghukum anak sepanjang masa. Nabi pun ajar kita untuk bimbing anak selama 3 tahun supaya menguasai ibadah solat, nak jadikan solat sebagai budaya diri, 3 tahun adalah tempoh yang panjang dan dalam tempoh yang panjang itulah kita akan ulang, terang, jelaskan, tunjukkan berulang kali.
Lepas 3 tahun yang setiap hari 5 kali proses mengulang menerang berlaku pun tak jalan juga barulah dirotan anak itu. Bila kita lupa peranan kita pada anak, hati mudah jengkel dan bosan, mulalah kita rasa anak ni lembap ke, tak faham-faham ke, kita mula bandingkan dengan anak orang lain ataupun bandingkan diri kita dulu-dulu, masa kecik dulu kita cepat faham, cepat patuh dan cepat taat padahal kita perasan je tu, akhirnya dengan anak cepat je nak serang dan mudahnya jadi garang.
4. Lupa anak kita bukan milik kita
Kita sering lupa bahawa Allahlah yang merancang perjalanan hidup kita. Allah sentiasa melihat dan menilai respon kita pada perancangan-Nya yang kudus itu. Anak-anak kita adalah milik Allah. Allah pinjamkan pada kita untuk kita urus anak sebagaimana yang dikehendaki oleh pemiliknya. Anak kita bukan juga hamba kita, bukan pula sumber kebanggaan mutlak, tetapi dia adalah jambatan dan jalan untuk meraih reda Allah. Anak -anak merupakan asbab untuk capai keredaan dan kasih sayang Allah.