Tertekan Menganggur Semasa PKP

Tertekan Menganggur Semasa PKP, Lelaki Kurung Isteri & Anak Dalam Rumah

Sudah pasti dalam kita melawan wabak pandemik Covid-19,ada juga dalam kalangan kita yang terkesan khususnya dari segi pekerjaan dan emosi. Mana tidaknya, semua sektor ditutup bagi mengekang penularan dan ramai yang tidak boleh meneruskan perniagaan seperti dahulu. Justeru, ‘penderaan’ mental kerapkali terjadi.

TERTEKAN KERANA TIADA KERJA, KURUNG ISTERI DAN ANAK

Terbaharu di Seremban, sepasukan anggota bomba terpaksa bertindak memotong kunci mangga dan mengumpil pintu sebuah rumah bagi menyelamatkan seorang wanita serta dua orang anaknya yang terkurung dalam rumah oleh suaminya yang dipercayai mengalami tekanan perasaan.

Pegawai Operasi Balai Bomba Senawang, Zainurin Sarip berkata, pihaknya menerima panggilan aduan pada pukul 8.51 malam semalam dan tiba di lokasi kejadian iaitu di Taman Nusa Intan, Seremban, sembilan minit kemudian.

Menurut laporan Kosmo, pihak bomba mendapat laporan seorang lelaki bertindak mengunci pagar, grill dan pintu belakang rumahnya dari dalam setelah tertekan kerana tidak mempunyai pekerjaan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kami pada mulanya cuba memujuk lelaki itu tetapi selepas lebih kurang 15 minit dan melihat dia tidak mahu beralah, kami mula mengumpil pintu pagar dan grill rumah berkenaan.”

Pihak bomba terpaksa memotong kunci mangga pintu rumah berkenaan disebabkan lelaki itu mendakwa tidak tahu di mana dia meletakkan kunci tersebut.

Tambahnya, pihak bomba juga dimaklumkan, wanita itu ada mengadu kepada jirannya tentang kejadian tersebut sebelum suaminya itu mengalami tekanan lebih teruk dan abang kandung lelaki itu terpaksa datang dari Mambau untuk memujuk.

Pihak bomba berjaya menyelamatkan wanita itu dan anak-anaknya yang berusia kira-kira empat bulan dan lebih setahun dan menghantar mereka ke rumah jiran terdekat. Apa yang menyedihkan lagi apabila dimaklumkan kesemuanya tidak makan daripada pagi.

Tiada sebarang kecederaan yang berlaku ketika kejadian dan lelaki itu kemudian diserahkan kepada pihak polis.

Sumber: Kosmo

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: