Tun Aminah

Tiket percuma Piala Juara-Juara Antarabangsa 2018 buat penyokong JDT

KUALA LUMPUR: Penyokong pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) mendapat ‘bonus’ apabila berpeluang mendapatkan tiket perlawanan Piala Juara Juara Antarabangsa 2018 (ICC) di Singapura secara percuma.

Berita gembira itu diumumkan oleh Presiden JDT, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim menerusi akaun rasmi Facebook kelab berkenaan, Johor Southern Tigers, hari ini.

Menurut Tunku Tun Aminah, ia sebagai penghargaan kepada penyokong setia skuad Harimau Selatan yang selama ini sentiasa memberi sokongan padu kepada pasukan terbabit.

“Bagi menghargai sokongan dan tanda terima kasih kepada para penyokong setia JDT, kelab akan menghadiahkan beberapa keping tiket untuk menyaksikan perlawanan ICC di Singapura pada 26, 28hb dan 30 Julai.

“Para penyokong boleh mendapatkannya di kaunter tiket di Stadium Larkin beserta salinan passport pada Ahad, 22 Julai pada jam 10.00 pagi.

“Penebusan ini tertakluk kepada konsep yang dahulu diutamakan,” kata Tunku Tun Aminah.

ICC 2018 yang sekali lagi berlangsung di Singapura bakal menampilkan kejohanan tiga penjuru membabitkan pasukan terkemuka dunia iaitu gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal ; Atletico Madrid (Liga Sepanyol) dan juga juara Ligue 1, Paris Saint Germain.

Sumber: Berita Harian

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: