Warga emas tangkap buaya seberat satu tan guna tali
BUTON: Seorang lelaki warga emas berjaya menangkap seekor buaya seberat satu tan secara berseorangan di Buton, Sulawesi Tenggara.
Buaya itu ditangkap selepas terkandas di kawasan kebun penduduk setempat berikutan banjir surut beberapa hari lalu.
Terdahulu, buaya itu dipercayai berenang ke kawasan kebun semasa banjir berlaku dan terkandas selepas air surut.
Lelaki warga emas yang mesra disapa Usman itu menceritakan, dia menangkap buaya itu dengan hanya menggunakan tali.
“Saya ternampak seekor buaya besar terkandas di kawasan kebun dan kebetulan saya membawa tali.
“Secara berhati-hati, saya mengikat bahagian ekor buaya itu pada pokok kelapa sebelum mengikat kepala dan bahagian lain,” katanya.
Penduduk kampung turut merakam aksi Usman dan dalam masa satu jam, buaya itu berjaya ditangkap sepenuhnya.
Buaya itu diukur sepanjang 4.3 meter dan seberat satu tan.
Jelas Usman, kawasan kebun itu terletak berhampiran Sungai Malaoge yang merupakan habitat haiwan pemangsa tersebut.
Seorang penduduk kampung, Izwar memberitahu, aksi Usman menangkap buaya tersebut ‘amat tenang’ dan kelihatan mudah.
“Tindakan pantas Usman menyelamatkan banyak nyawa kerana kami tidak tahu apa yang akan berlaku sekiranya buaya itu masih berada di kawasan kebun,” ujarnya.