Analisa Felda Away

Analisa Liga Super 2017: 5 Perkara Dari Kekalahan 3-2 JDT Di Tangan Felda United

Felda United jelas memanfaatkan kelebihan mereka bermain di tempat sendiri walaupun ditukar ke Stadium Shah Alam. JDT harus menyalahkan diri mereka terutama barisan pertahanan yang jelas carca marba.

Di bawah adalah lima perkara daripada kekalahan 3-2 JDT di atas tangan Felda United.

1. Barisan serangan JDT tumpul

felda united vs jdt ghaddar

JDT sentiasa mencipta banyak sekali peluang di dalam perlawanan ini dengan variasi hantaran. Mohamad Ghaddar di antara pemain yang mungkin boleh menjaringkan 2 gol daripada perlawanan ini dengan peluang yang beliau peroleh.

Secara keseluruhannya JDT mencipta 9 peluang gol daripada 13 gol cubaan gol yang dihasilkan barisan para pemain JDT.

Ini bukan kali pertama JDT tewas walaupun merekodkan 77% penguasaan bola. JDT masih lagi dapat mengusai permainan walaupun hanya mempunyai 10 orang pemain di atas padang.

2. Stuart Wark bertindak cemerlang

felda united vs jdt stuark

Musim lalu Stuart Wark antara watak penting dalam mempertahankan gawang gol. Beliau acapkali mempamerkan beberapa persembahan terpuji di dalam perlawanan dan malam tadi (semalam) sekali lagi beliau melakukannya.

Ada beberapa kali pertahanan Felda United hilang fokus namun Stuart menjadi tembok akhir yang kebal. Ini sekaligus menaikkan lagi nama beliau sebagai seorang pemain yang harus dipanggil di kem kebangsaan.

3. Junior ‘from zero to hero back to zero’

Junior Eldstal menjadi pilihan terbaharu Morais memandangkan kemerosotan prestasi Aidil Zafuan. Walaupun sudah beberapa kali diturunkan di dalam kesebelasan utama, ternyata Junior masih mempunyai perasaan gugup.

Gol Thiago Augusto antara lain sebabnya apabila Junior gagal melakukan ‘back pass’ yang sempurna dan menyebabkan Haziq terpaksa berlari dalam kadar segera untuk menutup segala ruang. Namun Thiago mudah meletakkan bola tersebut ke gawang gol JDT.

felda united vs jdt junior

Dan mengeruhkan lagi keadaan, Junior dilayangkan kad merah walaupun sudah bertindak sebagai hero dengan gol penyamaan pertama JDT. Dan hasilnya gawang JDT mudah dibolosi.

Secara ringkasnya, Junior harus segera memperbaiki persembahan beliau atau tidak pemain baharu JDT musim hadapan akan merampas posisi beliau dengan mudah.

4. Thiago penjaring kemenangan

2 percubaan gol, 2 percubaan tepat dan 2 gol daripada bekas pemain Kedah ini. Beliau jelas mempunyai kualiti yang kita pernah lihat ada pada beliau satu ketika dahulu. Pertahanan JDT gagal mengawal pemain ini untuk terus menghukum JDT.

Gandingan beliau bersama Zah Rahan kelihatan semakin meningkat dalam perlawanan ini. 15 perlawanan, 14 gol, 2 sumbangan gol dan 3 kali ‘hat-trick’. Statistik yang menggerunkan malah lebih bagus daripada Gabriel Guerra.

5. Gabriel Guerra masih beraksi di bawah par

felda united vs jdt guerra

Sudah beberapa perlawanan Guerra jelas tidak menjadi. Malah sikap individu beliau sering merugikan pasukan JDT. Aksi Guerra masih di bawah par seperti perlawanan sebelum ini.

Mungkin ini petanda jelas Safawi Rasid bakal mendapat tempat di sayap kiri andai dapat pulihkan semula prestasi terbaik beliau.

Baca juga: Previu Liga Super 2017: Felda United vs JDT, Sathianathan vs Morais Sajikan Dua Menu Berbeza


Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: