Gary Menjaringkan Gol

Gary Sedia Galas Aksi 90 Minit Sekiranya Mendapat Kepercayaan Lagi Dari Morais

JOHOR BAHRU: Pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Gary Steven Robbat enggan terlalu selesa selepas terpilih dalam kesebelasan utama ketika menentang Selangor pada aksi terakhir Kumpulan D saingan Piala Malaysia, Sabtu lalu.

Malah dia menegaskan masih ada ruang untuk memperbaiki kelemahan dan meningkatkan lagi kualiti permainan andai mahu kekal dalam skuad utama – selepas tujuh bulan tidak beraksi dalam perlawanan kompetitif dan beraksi sepanjang 90 minit perlawanan.

Apapun, dia amat berterima kasih kepada ketua jurulatih, Ulisses Morais yang memberi kepercayaan kepadanya beraksi bersama-sama Natxo Insa, Nazmi Faiz Mansor dan kapten Safiq Rahim.

“Aksi menentang Selangor baru-baru ini adalah perlawanan penuh bagi saya dan saya amat lega kerana dapat membalas kepercayaan oleh jurulatih (Morais) dengan mempamerkan aksi terbaik dan mengekang gerakan lawan yang kita tahu dibarisi pemain hebat.

“Lebih manis apabila saya berjaya menjaringkan salah satu gol ketika menentang Selangor, dan ia dianggap satu permulaan yang positif selepas agak lama tidak beraksi dan hanya sekadar berlatih serta baru pulih daripada kecederaan.

Gary Steven Robart

“Pendekatan saya adalah memberi sepenuh tumpuan dalam latihan dan sentiasa bekerja keras kerana itu yang diperhatikan oleh jurulatih dan kita tahu dalam skuad JDT, tiada pemain yang boleh berlatih sambil lewa, harus agresif dan berdisiplin,” katanya.

Mengulas pertembungan suku akhir pertama menentang Melaka United, Sabtu ini, Gary menyerahkan kedudukannya kepada Morais dan akan tetap membuat persediaan rapi jika tersenarai dalam kesebelasan utama.

Malah dia juga cukup selesa bergandingan bersama Insa di posisi tengah.

“Jika diturunkan pada perlawanan menentang Melaka United, Sabtu ini, sudah tentu saya akan beri komitmen yang tinggi kerana kami inginkan slot ke final selepas bekerja keras dalam saingan kumpulan.

“Apapun, kami perlu berwaspada dengan corak permainan Melaka United yang mampu beri ancaman jika kami ambil sikap mudah,” kata Gary.

Sumber: Berita Harian

Baca juga: 12 Statistik Menarik Selepas Perlawanan Ke-100 JDT Di Stadium Larkin


Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: