Juara

Tiga pelajar kita juara dunia pertandingan robotik

KOTA TINGGI: Tiga pelajar Sekolah Menengah Sains Kota Tinggi (SAKTI), di sini, mengharumkan nama negara apabila muncul juara dunia pertandingan World Robot Olympiad (WRO) Kategori Junior sempena World Adolesent Robot Contest (WARC) 2018 di Guizhou, China, semalam.

Ketiga-tiga pelajar, Muhammad Aqilzafry Nor Kamaruzan, 15; Akmal Syahmi Shahrel, 15 dan Muhammad Allif Azri Mohd Zaini, 15, dari kumpulan SAKTI TIGER menewaskan lebih 100 peserta daripada 57 negara bagi kategori Regular Sekolah Menengah Rendah.

Kemenangan itu membolehkan anak didik guru fizik yang juga mentor, Mohd Ahir Samsuri membawa pulang pingat dan trofi kemenangan.

Pengetua SAKTI Mohamad Mahadi dan Penyelia Ko-Akademik Pejabat Pendidikan Daerah Kota Tinggi, Ishak Ismail turut memberikan sokongan sepanjang pertandingan bermula 20 Julai hingga semalam.

Guru Kanan Kokurikulum SAKTI Norjaslina Isa, berkata warga sekolah bersyukur dengan kejayaan diraih kumpulan itu pada pertandingan robotik peringkat dunia.

Katanya, pasukan itu berdepan cabaran sengit terutama peserta Russia namun berkat kesungguhan dan latihan sejak tahun lalu, akhirnya mereka berjaya muncul juara dunia.

“Bagi peringkat negeri, ketiga-tiga pelajar ini muncul juara pada Pertandingan Robotik Kebangsaan (NRC) tahun ini dan kini, kami tidak menyangka mereka bergelar juara dunia bagi kategori junior.

“Kejayaan ini berkat kesungguhan mereka menjalani latihan sejak tahun lalu dan syukurlah, semua latihan serta ilmu dan diperoleh berjaya digunakan sepenuhnya pada pertandingan itu,” katanya.

Katanya, berita kejayaan pasukan sekolah itu diketahui secara tidak rasmi menerusi kumpulan WhatsApp sekolah.

“Ia dikirimkan cikgu Ahir mengenai kemenangan pelajar sebelum menerima piala kemenangan, pada jam 9 malam tadi,” katanya.

Ia bukan kejayaan pertama kali diraih SAKTI sebaliknya pernah memenangi pingat emas kategori menengah rendah dalam kejohanan sama di Sochi, Russia pada 2014.

Sekolah itu juga kerap menghantar wakil ke beberapa pertandingan robotik di peringkat antarabangsa termasuk di Indonesia, Russia, Qatar, Korea, India dan Hong Kong.

Terdahulu kejayaan pasukan negara itu dikongsi Kementerian Pendidikan Malaysia dengan ucapan ‘Tahniah’ atas kejayaan tiga remaja SM Sains Kota Tinggi muncul johan pertandingan WARC 2018 di China, semalam.

Sekeping gambar menunjukkan tiga peserta terbabit bersama pingat emas masing-masing bersama trofi kemenangan menjadi idaman 57 negara peserta lain.

Sumber: Berita Harian

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: