‘Saya bukan nak terjun jambatan pun’
BATU PAHAT: Tindakan pantas pengguna Jambatan Peserai, di sini, berjaya menggagalkan cubaan seorang wanita bersama dua anaknya daripada terjun ke sungai berkenaan kira-kira jam 1 tengah hari semalam.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa, berkata kejadian berlaku apabila seorang wanita mengalami tekanan perasaan dan memberhentikan kereta dipandunya di laluan motosikal sehingga menyebabkan kesesakan lalu-lintas di jambatan berkenaan.
“Siasatan awal mendapati wanita berkenaan menyatakan bahawa dia mengalami tekanan perasaan disebabkan gagal menghubungi suaminya sejak kelmarin dan suaminya bertindak mematikan telefon bimbit.
“Dia juga mengalami tekanan perasaan kerana dimarahi oleh pengetua sekolah melalui telefon ketika mahu menyambung cuti selama sehari dengan perkataan kurang sopan,” katanya ketika dihubungi NSTP hari ini.
Abdul Wahib berkata, wanita itu yang bertugas sebagai pembantu makmal di sebuah sekolah di Johor Bahru pernah meminta untuk ditukarkan ke Batu Pahat kerana dia dan suami berasal di situ tetapi permohonan pertukaran berkenaan tidak disokong oleh pengetua.
“Dia dan suami mengalami masalah kewangan kerana suaminya sudah tidak bekerja akibat kemalangan di tempat kerja sejak tujuh bulan lalu. Suaminya patah tangan akibat terjatuh ketika memasang penghawa dingin serta sehingga kini tuntutan Pertubuhan Keselamatan Sosial (SOCSO) belum diperolehi.
“Masalah kewangan menyebabkan wanita itu dihalau oleh pemilik rumah sewa di Johor Bahru kerana gagal membayar tunggakan sewa selama dua bulan sebanyak RM1,000,” katanya.
Abdul Wahib berkata, wanita itu tidak mengakui ada niat untuk membunuh diri kerana masih mempunyai dua anak yang masih kecil dan hanya berdiri di atas jambatan akibat buntu dan berharap suaminya datang ke situ.
“Dia dinasihati untuk pulang bersama keluarganya terlebih dulu kerana keadaannya yang masih kurang stabil dan akan dipanggil semula untuk dirakam percakapannya.
“Polis juga menyangkal penularan posting palsu di media sosial dan menasihati orang ramai untuk tidak menularkan berita palsu terhadap wanita berkenaan yang cuba membunuh diri di lokasi berkenaan,” katanya.
Terdahulu, di Facebook tular dengan posting yang menyatakan jambatan Batu Pahat mengalami kesesakan kerana ada orang meninggal dalam kereta.
Sumber: Berita Harian