Pengawal Keselamatan Kedai Emas Terlepas Tembakan

Pengawal keselamatan kedai emas terlepas tembakan

SUNGAI PETANI – Seorang pengawal keselamatan terlepas tembakan ketika mengendalikan ‘pump gun’ di sebuah kedai emas dalam sebuah pasar raya di sini kira-kira jam 9 pagi pada Khamis.

Sumber memaklumkan, senjata tersebut mengalami sedikit kerosakan di bahagian picu ketika dikendalikan lelaki terbabit.

Bagaimanapun, katanya, tembakan itu kemudian tersasar ke bahagian bawah sehingga menjejaskan sedikit bahagian lantai di kedai tersebut.

“Ketika kejadian, pengawal keselamatan bersama kakitangan sedang membuat persediaan nak buka kedai, namun secara tiba-tiba terlepas satu das tembakan yang tersasar dipercayai akibat kerosakan di bahagian picu.

“Namun, tiada sebarang kecederaan mahupun kejadian lebih buruk berlaku, hanya sedikit sahaja bahagian lantai terjejas,” katanya.

Difahamkan, laporan polis telah dibuat dan siasatan telah dijalankan di lokasi kejadian.

“Kita minta semua pihak bertenang dan beri laluan pihak berkuasa jalankan siasatan terlebih dahulu serta tidak membuat sebarang spekulasi,” katanya.

Sebelum ini, satu hantaran di media sosial Facebook telah dimuat naik seorang pengguna memaparkan beberapa buah kereta peronda polis berada di kedai emas di lokasi kejadian, menarik perhatian ramai.

Sumber: Sinar Harian

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: