Longhi tak panik selepas JDT tumbang
JOHORBAHRU: “Bukan malam JDT”.
Itu yang dirumuskan pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Raul Longhi selepas barisannya tumbang 1-2 kepada MIFA pada aksi Kumpulan C saingan Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.
Tambahnya lagi, setiap gerakan berbahaya sering dicipta pemain JDT tidak kira daripada posisi tengah, sayap kiri dan kanan tetapi agak malang apabila gagal menembusi keampuhan benteng lawan yang berdisiplin mengelak gawang dibolosi.
“Pemain MIFA bertahan dengan lima dan lapan pemain, itu yang menyukarkan pemain mencari ruang untuk menjaringkan gol tetapi saya enggan merungut dengan taktik pasukan lawan yang beraksi secara bertahan kerana itu taktik mereka ketika menentang JDT yang berstatus juara Liga Super.
“Namun, kami dihukum akibat satu kesalahan saja dan pemain MIFA mengambil kesempatan menjaringkan gol. Kami cuba membuka permainan dengan gerakan di sebelah sayap kiri menerusi larian pantas S Kunanlan dan Corbin Ong yang sentiasa bergerak membantu barisan serangan.
“Anda sendiri melihat setiap kali bola sepakan lintang terutama pada babak pertama, bola akan dipintas barisan pertahanan MIFA, malah tindakan pemain pasukan itu yang sentiasa mengekori rapat pemain JDT memberi kesan kelancaran gerakan untuk memburu gol,” katanya.
Mengulas mengenai dua gol yang dilepaskan benteng, Longhi menegaskan beliau akan membuat analisis bagi mencari kesilapan untuk persiapan aksi menentang Kedah di laman sendiri Sabtu ini, selain memantapkan semua posisi bagi mengelak kekalahan berulang.
Menurutnya, ketiadaan Hariss Harun di posisi tengah selepas pemain itu kini menjalani latihan bersama skuad bawah 23 tahun (B-23) Singapura menjejaskan posisi berkenaan.
“Memang terasa apabila ketiadaan Hariss di posisi tengah namun kami tetap akan meneruskan cabaran Piala Malaysia dan kekalahan pertama itu tidak menjejaskan moral pemain sebaliknya akan bangkit pada aksi menentang Kedah nanti,” kata Longhi.
Sumber: Berita Harian