HABITUAL KNUCKLE CRACKING

Suka Bunyikan Jari Tapi Ada Cakap Tabiat Ni Rosakkan Sendi. Betul Ke?

“Ilham, janganlah asyik diketap-ketap jari tu. Tak elok tau. Nanti kena sakit sendi bila dah tua baru tau…” Mengetap atau membunyikan jari atau sendi adalah sesuatu yang biasa kita lakukan dari semasa ke semasa. Malah, ada yang begitu kerap melakukannya hingga ia menjadi tabiat yang sukar dihentikan. Orang tua-tua selalu melarang anak-anak daripada melakukan perkara ini. Ada pula yang kata ia boleh menyebabkan penyakit sendi seperti arthritis. Tapi, betulkah begitu? Mari ketahui beberapa perkara tentang tabiat ini yang digelar sebagai ‘habitual knuckle cracking’.

5 FAKTA PERLU TAHU TENTANG ‘HABITUAL KNUCKLE CRACKING’

1. APAKAH ‘HABITUAL KNUCKLE CRACKING’

Knuckle cracking adalah perbuatan membunyikan jari dengan beberapa cara seperti membengkokkan jari ke depan, ke belakang, ke sisi, atau menarik-narik jari hingga keluarnya bunyi seakan ‘pop’ atau ‘krek’. Atau sesekali kalau diregangkan semua jari sekaligus, keluarlah bunyi ‘prap!’

Habitual pula bermaksud ianya sering dilakukan hingga menjadi tabiat atau kebiasaan. Menurut MayoClinic, orang yang mempunyai tabiat ini melakukannya lebih daripada 5 kali dalam sehari. membunyikan jari

2. KENAPA ORANG SUKA MENGETAP / MEMBUNYIKAN JARI

Tabiat mengetap atau membunyikan jari-jemari ini selalunya dilakukan apabila kita berasa letih atau lenguh jari. Menurut Medical News Today, antara 25% hingga 54% orang biasa melakukannya. Pemerhatian juga mendapati orang lelaki lebih ramai melakukannya berbanding perempuan. Biasalah, kadang-kadang dah penat menaip atau menulis, kita secara tak sedar membunyikan jari untuk mendapatkan kelegaan.

Sesetengah orang pula menjadikannya sebagai tabiat yang dia sendiri kurang perasan – iaitu lazimnya sewaktu berasa bosan, jauh berfikir, berasa cemas atau stres. Ada juga sekadar suka-suka dan berasa ‘puas’ apabila mendengar bunyi yang dihasilkan pada jari tersebut.

3. BAGAIMANA SENDI JARI BOLEH MENGELUARKAN BUNYI

Walaupun mekanisme tepat di sebalik bunyi yang muncul masih dibahaskan, ia bukanlah disebabkan geseran antara tulang.Salah satu teori yang popular mendakwa ia adalah bunyi gas yang dilepaskan daripada membran, lalu menyebabkan bunyi “pop!” Bunyi yang sama juga boleh terhasil apabila tendon diangkat atau tertarik terlalu cepat.

4. ADAKAH IA MEMBERI KESAN JANGKA MASA PANJANG?

Berita baiknya adalah ia bukanlah punca penyakit sendi atau artritis. Pakar juga berpendapat bahawa ia tidak mengganggu kesihatan secara serius. Namun, sesetengah kajian mengaitkan kebiasaan ini dengan cengkaman yang lemah sekiranya begitu kerap dilakukan. Ia juga mungkin boleh menyebabkan keradangan pada tisu lembut di jari-jemari.

5. AWAS, ADA YANG RIMAS DENGAN TABIAT INI

Seperti kebiasaan memintal rambut atau menggoyangkan kaki, ada orang yang berasa kurang selesa apabila melihat anda melakukan tabiat ini di hadapan mereka.

Ada yang cukup terganggu apabila mendengar bunyi begini sebab ia seolah-olah perbuatan yang menyakitkan atau merosakkan jari. Ada juga yang turut terasa lenguh dan letih apabila mendengarnya. Bahkan, ada yang menganggap ia sebagai perbuatan yang kurang sopan serta menghilangkan daya fokus. Contohnya apabila anda melakukannya di dewan peperiksaan.

IA TIDAK MEMERLUKAN RAWATAN

Walau apapun, tabiat ini adalah normal dan tidak memerlukan rawatan memandangkan ia tidak mendatangkan kesan jangka masa panjang yang kronik. Namun, sekiranya sendi anda kerap terasa sakit hingga kelihatan bengkak, dapatkanlah rawatan doktor untuk mengetahui diagnosis yang lebih lanjut.

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: