Jaminan Syurga Buat Orang Yang Menjauhi Perbalahan, Berdiam Diri Adakalanya Lebih Baik
Rasulullah SAW pernah bersabda dalam sebuah hadis yang berbunyi:
أَنَا زَعِيمٌ بِبَيْتٍ فِى رَبَضِ الْجَنَّةِ لِمَنْ تَرَكَ الْمِرَاءَ وَإِنْ كَانَ مُحِقًّا وَبِبَيْتٍ فِى وَسَطِ الْجَنَّةِ لِمَنْ تَرَكَ الْكَذِبَ وَإِنْ كَانَ مَازِحًا وَبِبَيْتٍ فِى أَعْلَى الْجَنَّةِ لِمَنْ حَسَّنَ خُلُقَهُ
Terjemahan Hadis:
“Aku menjamin dengan sebuah istana di pinggir syurga bagi orang yang meninggalkan pertengkaran, meskipun dia di pihak yang benar, sebuah istana di tengah syurga bagi orang yang meninggalkan pendustaan meskipun ia bergurau, sebuah istana di atas syurga bagi orang yang memperbaiki akhlaknya”
(Hadis Riwayat Imam Abu Daud)
Beberapa pengajaran penting:
Hadis ini menerangkan berkenaan dengan ciri-ciri akhlak mulia yang sukar diamalkan oleh sebahagian manusia pada hari ini. Sekiranya dapat diterapkan kesemua ciri-ciri tersebut di dalam pergaulan seharian, insyaAllah ianya mampu membawa seseorang itu untuk sampai ke darjat yang paling tinggi di syurga nanti sepertimana jaminan yang telah diberikan oleh Baginda SAW menerusi hadis di atas.
Salah satu daripada akhlak tersebut adalah meninggalkan sesuatu pertengkaran ataupun perbalahan meskipun dirinya berada di atas pihak yang benar hatta jika dia berada di pihak yang salah sekalipun. Hal ini adalah kerana kebiasannya sesuatu pertengkaran itu pasti akan menimbulkan banyak kesan-kesan yang negatif yang akhirnya akan membawa kepada permusuhan dan pergaduhan yang berpanjangan.
Kebiasaannya pertengkaran ini boleh terjadi apabila timbulnya sesuatu masalah atau kerumitan atau berlaku salah faham dan sebagainya. Sekiranya perbalahan tersebut tidak ditinggalkan dengan segera, dibimbangi ianya boleh mencetuskan konflik yang berterusan sehingga boleh merosakkan hubungan silaturrahmi sesama manusia.
Oleh yang demikian, marilah bersama-sama kita meninggalkan segala bentuk perbalahan yang berlaku sesama kita agar kita mendapat jaminan syurga yang tertinggi di akhirat kelak. InsyaAllah
sebarkanlah ilmu walaupun sebesar zarah..
semoga bermanfaat. sila like & share!