Asia Warga Emas Cepat Tua

Penduduk Asia Pasifik menua lebih cepat, lebih 630 juta berumur 60 tahun ke atas – PBB

BANGKOK: Kadar penuaan penduduk Asia Pasifik lebih tinggi berbanding rantau lain dan kira-kira 630 juta orang berumur 60 tahun ke atas, mewakili 60 peratus warga emas dunia.

Dalam satu kenyataan, Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Asia dan Pasifik (ESCAP) memaklumkan menjelang 2050, jumlah itu diunjurkan meningkat kepada 1.3 bilion.

“Majoriti mereka yang lebih tua adalah wanita; merangkumi 61 peratus dan berumur 80 tahun ke atas,” menurut ESCAP.

Warga emas di rantau ini juga berdepan dengan ketidakadilan dan terkesan dengan pelbagai isu yang timbul termasuk ketidaktentuan geopolitik, pandemik COVID-19, perubahan iklim dan transformasi digital.

Setiausaha Eksekutif ESCAP, Armida Salsiah Alisjahbana berkata langkah konkrit perlu diambil untuk menyediakan persekitaran yang selamat dan terjamin kepada warga emas serta dapat menyumbang kepada masyarakat.

“Kita mesti melihat dalam ruang lingkup yang lebih luas dengan mengiktiraf mereka sebagai agen pembangunan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Yayasan Emong Lansia, Indonesia, Eva Sabdono berkata cabaran pada abad ke-21 memerlukan semua lapisan masyarakat bekerjasama menghapuskan ageisme.

“Walaupun beberapa kemajuan telah dicapai melalui Pelan Tindakan Antarabangsa Madrid mengenai Penuaan (MIPAA), warga emas terus dilihat sebagai penerima kebajikan dan beban kepada masyarakat, bukan tergolong dalam kategori yang cergas, berpengetahuan, dan berpengalaman yang menyumbang secara signifikan kepada ekonomi, masyarakat dan keluarga,” katanya.

Sementara itu, pegawai kerajaan, wakil masyarakat sivil dan organisasi antarabangsa hari ini menggesa momentum baharu dan tindakan pantas dilaksanakan untuk memajukan MIPAA menerusi semakan dan penilaian serantau yang diadakan pada ulang tahun ke-20nya oleh ESCAP.

Dilaksanakan pada 2002, MIPAA menyediakan rangka kerja komprehensif bagi melengkapkan Agenda 2030 untuk Pembangunan Mampan dan Dekad Penuaan Sihat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
— BERNAMA

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: