Piala Malaysia 2017: Melaka United 1 Johor DT 4, Bekalan Yang Agak Selesa Dibawa Ke Larkin
Pasukan Johor Darul Takzim (JDT) meneruskan misi Piala Malaysia dengan berkunjung ke Stadium Hang Jebat untuk bertemu pasukan tuan rumah Melaka United untuk perlawanan suku akhir yang pertama. Kedua-dua pasukan cuba mencari bekalan selesa sebelum bertandang ke Stadium Tan Sri Hj. Hassan Yunus pada 24 September akan datang untuk perlawanan kedua.
Anak-anak buah Ulisess Morais seperti biasa mempertaruhkan formasi 4-3-3 dengan meletakkan gandingan 3 pemain import untuk menggempur kubu Melaka United. Dibahagian tengah pula, gandingan terbaik antara Natxo Insa, Afiq Fazail dan Safiq Rahim digandingkan semula.
[AdSense-B]Safiq dan Afiq direhatkan dalam kesebelasan utama dalam perlawanan sebelum menentang Selangor sebelum ini. Fadhli Shas digandingkan bersama Junior Eldstal sambil dibantu Fazly Mazlan dan S. Kunalan untuk mempertahankan gawang yang dikawal Izham Tarmizi.
Eduardo Almeida juga mempertaruhkan formasi yang sama (4-3-3) dalam usaha membawa bekalan terbaik ke Larkin nanti. Marco Simic menjadi taruhan Almeida untu menggempur gawang JDT sambil dibantu Falipe Sauza dan Fauzi Roslan.
Surendran Sivanesan dan Jeoun Woo Young digandingkan Almeida untuk menjadi nadi dibahagian tengah. Tugas menjaga gawang terletak di bahu Fazly Paat sambil dibantu Faizal Muhamad, Khair Jones, Jasmin dan Puaneswaran.
Separuh Masa Pertama
Perlawanan bermula dengan pasukan Melaka United melakukan serangan seawal minit ke-2. Walaubagaimanapun, tandukan Fazly Mazlan berjaya menyelamatkan JDT daripada dibolosi. JDT yang tersentak dengan serangan awal tersebut bertindak balas dengan melakukan beberapa siri serangan.
Serangan tersebut membuahkan hasil pada minit ke-7 apabila hantaran lintang Gonzalo Cabrerra ditampan Fazly Paat namun dirembat Mohamad Ghaddar yang merembat deras dari dalam kotak penalti untuk gol pertama JDT.
Siri serangan JDT tidak berhenti walaupun telah mendapat gol pendahuluan. Gabriel Guerra mempunyai peluang terbaik pada minit ke-9, walaubagaimanapun rembatannya sedikit tersasar disebelah kanan gawang.
Melaka United yang cuba melakukan serangan balas berjaya memperolehi sepakan percuma pada minit ke-13 selepas Sauza dijatuhkan. Izham Tarmizi tangkas menyelamatkan sepakan percuma tersebut.
Melaka sekali lagi memperolehi sepakan percuma pada minit ke-21. Izham Tarmizi sekali lagi bertindak cemerlang untuk menyelamatkan sepakan tersebut. Kedua-dua pasukan berjaya mengatur serangan namun gagal menemui gawang lawan masing-masing.
[AdSense-B]Mohamad Ghaddar sekali lagi mencetak nama selaku penjaring apabila hantaran lintang Fazly Mazlan yang menggelecek dari sebelah kiri ditanduk kemas Ghaddar untuk menjadikan kedudukan 2-0 untuk JDT mendahului. Melaka United yang sekali lagi tersentak pantas mengatur serangan balas untuk memecah kebuntuan.
Di saat separuh pertama dilihat bakal berakhir dengan 2-0, Marco Simic mengejutkan pasukan pelawat dengan menjaringkan gol hasil kesilapan barisan pertahanan JDT. Gol tersebut menamatkan separuh masa pertama dengan keputusan 2-1 memihak kepada JDT.
Separuh Masa Kedua
Separuh masa kedua bermula dengan Melaka United cuba meningkatkan intensiti perlawanan. Perlawanan menjadi semakin rancak dengan kedua-dua pasukan berbalas serangan. Morais mengambil keputusan untuk merehatkan Ghaddar dan memasukkan Hazwan Bakri pada minit ke-56.
Selang tiga minit Hazwan dimasukkan, beliau berjaya melakukan percubaan ke arah gawang Melaka namun ianya sedikit tersasar.
[AdSense-B]Pertukaran pemain kedua dilakukan JDT dengan memasukkan Nazmi Faiz Mansor bagi menggantikan Fazly Mazlan pada minit ke-65. Pertukaran taktikal dilakukan oleh Morais melalui kemasukan Nazmi untuk JDT lebih mengatur serangan.
Pertukaran taktikal tersebut dilihat berhasil apabila Natxo Insa pula mencatatkan nama selaku penjaring pada minit ke-68. Gol terhasil apabila hantaran lintang Gonzalo Cabrerra di rembat deras Natxo untuk gol ketiga JDT. Melaka United mula hilang punca selepas jaringan Natxo tersebut.
Minit ke-80 menyaksikan Safawi Rasid dimasukkan untuk Morais merehatkan Gonzalo Cabrerra. Melaka juga melakukan pertuakaran dengan memasukkan Jasmir Mehat bagi menggantikan Fauzi Roslan pada minit ke-82.
[AdSense-B]Safiq Rahim terus menghukum pasukan lawan dengan menjaringkan gol ke empat buat JDT pada minit ke-85 melalui ‘counter-attack’. Gol tersebut seolah-olah terus membunuh semangat berjuang pasukan Melaka di awal permainan. Tambahan masa 2 minit yang diberikan pegawai perlawanan gagal dimanfaatkan Melaka.
Perlawanan berakhir dengan pasukan tuan rumah terpaksa akur tewas 1-4 ke atas juara Liga Super. 4 gol di tempat lawan memberi kelebihan besar buat pasukan JDT untuk dibawa ke halaman sendiri pada 24 September nanti.
Baca Juga: Bertahan 90 Minit Bukan Cara Melaka United – Eduardo Almeida