Jersi Fernando Marquez Curi Tumpuan
Fernando Marquez bukan setakat membuka ‘akaun’ gol hanya dalam tempoh lima minit beraksi bersama Johor Darul Ta’zim (JDT), namun turut mencuri tumpuan dengan jersi yang dipakainya pada aksi bertemu Perak di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam tadi.
Menyarung jersi bernombor 18 dengan reka bentuk nombor yang sama seperti pemain lain, namun simbol ‘+’ yang diletakkan di antara nombor satu dan nombor lapan segera menimbulkan persoalan dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan yang menyaksikan aksi terbabit.
Tindakan pemain dari Argentina itu dipercayai bagi memastikan dia tetap menyarung jersi nombor 9 sama seperti nombor jersi bersama pasukan lamanya dengan secara tidak langsung kiraan matematik yang dapat dilihat di jersi itu menyaksikan ‘1+8’ menjadi 9.
Ketika ini, jersi nombor sembilan dimiliki penyerang mereka, Ahmad Hazwan Bakri, jadi mungkinkah kita dapat menyaksikan pertukaran jersi antara dua pemain terbabit pada musim akan datang?
Pada aksi itu, pemain berusia 30 tahun berkenaan tidak menunggu lama untuk meledak gol pada penampilan sulungnya apabila mudah menyempurnakan sepakan penalti pada minit kelima sebelum pemain yang bakal digugurkan, Jorge Santos menjaringkan gol kedua pada minit ke-83 untuk kemenangan 2-0 kepada tuan rumah.
Bagaimanapun, jersi dengan simbol ‘+’ itu tidaklah begitu asing memandangkan ia pernah dilakukan oleh bekas pemain Inter Milan, Ivan Zamorano yang turut meletakkan simbol ‘+’ pada jersi bernombor 18 yang dipakainya.
Menyertai Inter Milan daripada Real Madrid pada 1996, Zamorano terpaksa ‘melepaskan’ jersi nombor 9 kepada bintang sedang meningkat naik ketika itu, Ronaldo selepas nombor kegemarannya, 10 diambil legenda Itali, Roberto Baggio yang berhijrah ke San Siro pada 1998.
Justeru, Zamorano tidak mempunyai pilihan sekali gus terpaksa mengambil jersi bernombor 18, namun diletakkan simbol tambah bagi memastikan setidak-tidaknya dia tetap menyarung jersi nombor ‘9’.
Sumber: Berita Harian