3 Maut Dalam Nahas Bas Ekspres, Lori Tangki Dan Kontena
MUAR: Seorang pemandu bas dan dua penumpangnya maut apabila bas ekspres yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan berat di Kilometer (KM) 142 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran persimpangan Pagoh di sini, tengah hari tadi.
Dalam kejadian jam 1.15 tengah hari itu, mangsa yang disahkan maut ialah pemandu bas dikenali sebagai Shuaib Mohd Unny, 50, manakala dua lagi mangsa masih belum dikenal pasti identitinya.
Kemalangan itu juga menyebabkan pemandu lori kontena mengalami kecederaan pada bahagian pinggang manakala 22 penumpang bas ekspres terbabit hanya mengalami kecederaan ringan.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip, berkata siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila sebuah lori kontena membawa muatan ‘pallet’ dari arah tol Pagoh menuju ke utara tergeser dengan sebuah lori tangki ketika menuruni susur keluar ke lebuh raya .
“Pergeseran itu menyebabkan pemandu lori kontena terbabit hilang kawalan mengakibatkan lori itu terbalik dan merentangi kawasan tengah jalan.
“Kemudian, sebuah bas ekspres dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur membawa 27 penumpang, yang kebetulan berada di lokasi, melanggar belakang kontena yang sudah tertanggal dari badan lori,” katanya ketika dihubungi NSTP hari ini.
Zaharudin berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar untuk bedah siasat, manakala 22 penumpang yang mengalami kecederaan ringan, seorang kelindan dan tiga penumpang bas yang tidak cedera turut dihantar ke hospital sama untuk rawatan susulan.
Katanya, pemandu lori kontena yang mengalami kecederaan pada bahagian pinggang juga dibawa ke hospital sama untuk mendapatkan rawatan dan dia juga ditahan bagi membantu siasatan lanjut.
“Siasatan awal mendapati keadaan cuaca adalah baik dan kawasan kemalangan ialah jalan lebuh raya selepas susur keluar dari Plaza Tol Pagoh. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat Muar, Marzuki Ismail, dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya menerima panggilan tengah hari tadi dan operasi menyelamat tamat pada jam 2.10 petang.
Katanya, 13 anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Muar, dan 10 anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Gambir terbabit dalam operasi itu.
Sumber: Berita Harian