Seorang Wanita Lemas, 18 Masih Hilang Bot Terbalik
PENGERANG: Seorang wanita lemas manakala 18 yang lain dikhuatiri lemas apabila bot pancung dinaiki mereka terbalik di perairan Tanjung Punggai dekat Pengerang, Kota Tinggi, pagi tadi.
Ketika kejadian, bot yang membawa 44 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Batam, Indonesia itu dipercayai menuju ke Tanjung Penawar sebelum karam di kedudukan 6.5 batu nautika timur Tanjung Balau, di sini.
Timbalan Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor, Kapten Sanifah Yusof, berkata selain mangsa lemas, pihaknya berjaya menyelamatkan 25 pendatang asing tanpa izin (PATI), terdiri daripada 24 lelaki dan seorang wanita.
Bagaimanapun, katanya, baki 18 PATI yang menaiki bot itu masih hilang dan dikhuatiri lemas.
“Pada jam 4.45 pagi, kami menerima maklumat daripada pekerja pelantar MAPO 1 yang berada di kedudukan 2.7 batu nautika Tanjung Punggai, memaklumkan melihat dua mangsa berpaut pada tiang pelantar di situ.
“Bertindak atas maklumat ini, kami melancarkan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) membabitkan Pasukan Polis Marin (PPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Bomba dan Penyelamat dan pasukan perubatan Klinik Kesihatan Pengerang.
“Sebanyak 12 aset laut dan sebuah helikopter Maritim Malaysia digunakan dengan jumlah kekuatan seramai 144 orang. SAR dilakukan di kawasan seluas 150 batu nautika persegi bermula perairan Tanjung Punggai hingga ke Tanjung Siang,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Sanifah berkata, pada masa sama, Maritim Malaysia memohon bantuan pihak berkuasa Singapura dan Indonesia bagi menyelamatkan mangsa di perairan masing-masing.
Katanya, mayat wanita lemas itu ditemui pada jam 9.55 pagi manakala 25 mangsa yang lain diselamatkan sehingga jam 3 petang tadi.
Beliau berkata, pihaknya percaya kejadian berlaku kira-kira jam 12 tengah malam apabila bot pancung yang lebih muatan itu dipukul ombak kuat menyebabkannya terbalik.
“Semua mangsa yang ditemui berusia antara 20 hingga 45 tahun dan kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Akta imigresen 1959/63 Pindaan 2002.
“Kami belum mengenal pasti tekong bot berkenaan dan percaya dia antara mangsa yang masih hilang,” katanya.
Sumber: Berita Harian