Bolehkah Ibu Mengandung Makan Durian

Bolehkah Ibu Mengandung Makan Durian? Ini Penjelasan & Tips Pakar

“Bolehkah ibu mengandung makan durian?” Ini antara soalan yang paling popular ditanya bila masuk musim durian di Malaysia.

Musim durian menjelma lagi. Semakin ramai orang menjual durian di tepi jalan dengan harga yang murah.

Seperti yang kita biasa dengar, durian boleh menyebabkan badan kita ‘panas’.

Jadi, sesuaikah durian untuk dimakan bagi ibu mengandung?

Jom kita ketahui dengan lebih lanjut.

BOLEHKAH IBU MENGANDUNG MAKAN DURIAN?

Antara perkara yang perlu dititikberatkan oleh ibu mengandung ialah pemakanan supaya ibu dan kandungan sentiasa sihat.

Bagaimana pula kalau ibu mengandung mengidam nak makan durian? Bolehkan ibu mengandung makan durian macam biasa?

Dalam menjaga pemakanan ketika mengandung, para ibu perlulah memastikan supaya nutrisi penting tidak ditinggalkan agar kandungan dapat membesar dengan sihat.

Menurut pakar perubatan janin, Dr Patrick Chia, durian boleh dimakan oleh ibu mengandung, tetapi dalam kuantiti terhad sahaja.

Ibu mengandung yang didiagnos dengan diabetes perlu elakkan makan durian kerana kandungan gulanya yang cukup tinggi.

Sumber : Nutritionist KKM

KHASIAT DURIAN UNTUK IBU MENGANDUNG

Walaupun hanya boleh dimakan dengan kuantiti yang sedikit, durian boleh membekalkan khasiat untuk ibu mengandung. Ia mengandungi pelbagai vitamin dan mineral yang baik untuk kesihatan ibu dan bayi.

Antara khasiat yang terkandung dalam durian ialah vitamin C, vitamin B, serta mineral penting seperti zat besi, magnesium, dan kalsium.

Mineral folat yang terkandung dalam durian pula baik untuk perkembangan otak dan tulang belakang bayi dalam kandungan.

Khasiat zat besi pula dikatakan dapat melindungi para ibu daripada anemia atau kekurangan sel darah merah.

BOLEHKAH IBU MENGANDUNG MAKAN DURIAN? INI ANTARA RISIKONYA

Jika para ibu makan durian tanpa kawalan, ia boleh membahayakan ibu dan kandungan. Ibu mengandung boleh terdedah kepada beberapa risiko jika terlebih makan durian.

1. Meningkatkan Paras Gula Dalam Darah

Rasa durian yang berlemak dan manis ini mengandungi kadar gula yang amat tinggi. Berdasarkan kajian daripada British Journal Of Obstetrics and Gynaecology, pengambilan diet yang tinggi kadar gula boleh mengakibatkan risiko bayi dilahirkan terlalu berat.

Bagi para ibu yang disahkan menghidap diabetes gestational atau mempunyai sejarah diabetes dalam keluarga, seeloknya elakkan pengambilan durian.

Kredit Foto : emaze.com

2. Obesiti

Seulas durian mempunyai kalori sekitar 54 hingga 60 kalori! Oleh itu, pengambilan durian yang terlalu banyak ketika hamil adalah tidak digalakkan apatah lagi jika para ibu mempunyai berat badan berlebihan atau obesiti.

Disebabkan durian mengandungi nilai glisemik yang tinggi, pengambilan durian pada trimester akhir boleh menyebabkan obesiti pada janin.

Berdasarkan perkongsian dari HelloDoktor, pengambilan kalori berlebihan ketika mengandung juga boleh menyebabkan komplikasi lain seperti diabetes gestational, preeklampsia, kelahiran pramatang dan jangkitan salur kencing.

Kredit Foto : time.com

Dalam sesetengah kes, berat badan berlebihan juga menyebabkan gangguan ketika dibius dengan epidural semasa proses bersalin.

Sebaiknya, para ibu perlulah mengawal pengambilan durian ketika hamil bagi mengelakkan sebarang komplikasi.

TIPS MAKAN DURIAN SECARA BERSEDERHANA

Kalau rasa teringin sangat nak makan durian, bolehlah ikuti tip di bawah ini yang dikongsikan oleh Nutritionist KKM.

MEMBONGKAR MITOS MENGENAI PENGAMBILAN DURIAN KETIKA MENGANDUNG

Bukan mudah untuk mengelak makan durian ketika tiba musimnya. Kemungkinan sebab itulah ada banyak mitos yang berlegar dalam kalangan ibu mengandung mengenai bahayanya durian.

Mitos-mitos ini tidak mempunyai bukti saintifik yang kukuh atau disokong oleh mana-mana pakar perubatan.

1. Durian Menyebabkan Janin Kepanasan

Durian sering dikatakan boleh menyebabkan badan panas. Ada juga mitos yang mengatakan jika ibu mengandung makan durian, kandungan juga akan turut kepanasan. Namun, kenyataan ini tidak benar dan tiada bukti saintifik yang boleh membuktikannya.

2. Durian Tinggi Kolesterol

Selain tinggi gula dan kalori, durian juga sering dikatakan tinggi kadar kolesterol. namun, ia tidak benar sama sekali kerana durian tidak mengandungi kolesterol. Kolesterol biasanya terkandung dalam makanan tinggi lemak tepu seperti daging merah, produk tenusu atau makanan laut.

Sebaliknya, durian mengandungi lemak sihat yang baik untuk mengurangkan kolesterol tidak baik dalam badan. Jadi, tiada masalah bagi ibu mengandungi yang mempunyai kolesterol tinggi untuk makan durian dalam kuantiti yang sedikit.

KESIMPULAN

Sebagai orang Malaysia, memang susah untuk mengelak daripada makan durian bila musimnya tiba. Jika ibu mengandung mengidam untuk makan durian, makanlah dengan kuantiti sedikit.

Jangan lupa untuk jaga pengambilan kalori dan gula ketika mengandung untuk elakkan risiko atau komplikasi di kemudian hari.

Semoga dengan perngorbanan ibu untuk elak durian dapat membantu bayi anda berkembang dengan sihat. Lepas bersalin bolehlah makan durian banyak-banyak!

Sumber :

Bolehkah Makan Durian Semasa Hamil?
https://hellodoktor.com/kehamilan/tips-hamil/penjagaan-kehamilan/bolehkah-makan-durian-semasa-hamil/
Nutritionist KKM : Ada Apa Dengan Durian?
Exploring the Nutritional Contents and Benefits of Durian (Durio zibethinus)
https://www.utm.my/ibd/project/exploring-the-nutritional-contents-and-benefits-of-durian-durio-zibethinus/

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: