Covid

Kes Covid19 Kanak-kanak Makin Meningkat, Ini 5 Pesanan KKM

KES COVID19 KANAK-KANAK BAWAH 5 TAHUN (KES KEMATIAN & KRITIKAL) MENINGKAT DALAM 5 BULAN PERTAMA 2021 DI MALAYSIA

Akhir-akhir kini negara kita menyaksikan peningkatan kes COVID-19 yang mendadak.

Dalam bilangan tersebut, statistik kes kematian dan kes kritikal di kalangan kanak-kanak juga turut meningkat.

KKM telah memperincikan kes kritikal dan kematian COVID-19 di kalangan kanak-kanak seperti berikut:

Sebanyak tiga (3) kes kematian COVID-19 yang melibatkan kanak-kanak bawah 5 tahun telah dilaporkan sepanjang tahun 2020. Yang lebih dikhuatiri, bilangan kematian yang sama telah direkodkan dalam tempoh yang lebih singkat pada tahun 2021 iaitu tiga (3) kematian dalam lima (5) bulan pertama tahun 2021.

Kes kanak-kanak yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) juga menunjukkan peningkatan yang ketara. Pada tahun 2020, jumlah keseluruhan kes pediatrik yang menerima rawatan di ICU adalah sebanyak lapan (8) kes di mana enam (6) daripadanya berumur bawah 5 tahun.

Manakala bagi tahun 2021 (sehingga Mei 2021), sebanyak 27 kes kanak-kanak memerlukan rawatan di ICU dan daripada jumlah itu, 19 kes adalah kanak-kanak berumur bawah 5 tahun.

Kes covid-19 kanak-kanak di malaysia

PERATUSAN TERTINGGI DI KALANGAN UMUR 13-18 TAHUN

Peratusan tertinggi dilihat adalah dalam kalangan kanak-kanak umur 13 tahun sehingga kurang daripada 18 tahun (33.27 peratus).

Ini kemungkinan disebabkan kanak-kanak dalam kumpulan umur ini adalah lebih banyak bergerak dan menjalankan aktiviti luar.

Sama ada mereka sedari ataupun tidak, ini membawa risiko dijangkiti COVID-19 kepada diri mereka, adik beradik dan juga ahli keluarga yang lain, terutama jika mereka tidak mengikut nasihat yang telah diberikan KKM.

covid19 kanak-kanak

5 TINDAKAN IBU BAPA MENCEGAH PENULARAN KES COVID19 KANAK-KANAK

Ibu bapa adalah berperanan sebagai pelindung kepada kanak-kanak dan perlu mengambil tindakan proaktif untuk melindungi kanak-kanak agar tidak terdedah kepada bahaya COVID-19.

5 Pesanan KKM kepada ibu bapa atau penjaga termasuklah:

  1. Pantaulah pergerakan anak-anak agar kekal berada di rumah dan tidak keluar berjumpa kawan atau mengunjungi jiran tetangga;
  2. Hanya wakil keluarga dibenarkan untuk membeli barang keperluan keluarga, seperti mana yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN). Dalam perkara ini, ibu bapa sendiri perlu menjalankan tanggungjawab ini dan tidak membenarkan anak-anak remaja mengunjungi tempat tempat awam yang sesak dan berisiko tinggi;
  3. Anak-anak perlu dinasihatkan untuk sentiasa memakai pelitup muka dan mengamalkan kebersihan kendiri yang betul sekiranya terpaksa keluar daripada rumah atas urusan yang tidak dapat dielakkan (misalnya ke hospital/ klinik;
  4. Ibu bapa yang mempunyai bayi dan kanak kanak bawah 5 tahun perlu menjalankan tanggungjawab dengan kekal duduk di rumah, tidak membawa anak-anak ke tempat-tempat yang berisiko seperti pasaraya, pasar awam, dan tempat sesak yang lain. Gunakan pembelian atas talian bagi membantu mendapatkan keperluan seharian.
  5. Ibu bapa dan ahli masyarakat sekitar harus melindungi mereka dengan mendaftarkan diri bagi mendapatkan vaksin. Melalui cara ini, persekitaran yang lebih selamat dapat sama-sama kita bina bagi kelestarian generasi masa hadapan.

Semua pihak terutamanya ibu bapa diseru untuk mengambil berat isu keselamatan dan kesihatan golongan kanak-kanak ini memandangkan mereka masih kecil dan sistem pertahanan tubuh mereka yang belum matang. Oleh itu, mereka cenderung untuk dijangkiti virus SARS-CoV-2.

Kumpulan ini juga belum termasuk dalam golongan usia yang layak menerima suntikan vaksin melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

vaksin ibu hamil

KKM menyeru semua pihak untuk mengambil berat situasi yang serius ini. Kanak-kanak adalah kumpulan yang perlu dilindungi.

Masyarakat terutamanya ibu bapa dan penjaga dapat memainkan peranan penting bagi melindungi mereka yang mempunyai imuniti yang rendah seperti bayi dan kanak-kanak agar terhindar dari virus COVID-19.

Binalah persekitaran yang selamat bagi mereka dengan mematuhi sepenuhnya semua SOP sedia ada dan segeralah dapatkan vaksin bagi golongan dewasa yang layak.

(SumberKementerian Kesihatan Malaysia, 3 Jun 2021)

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: