Braces

Braces, Trend Atau Keperluan? 5 Perkara Ini Anda Perlu Tahu Sebelum Pakai Braces

Jika anda mengalami masalah gigi tidak teratur dan boleh menimbulkan kesusahan kepada anda untuk mengunyah makanan, sukar untuk tutup mulut dengan sempurna, gigi mudah berlubang dan pelbagai masalah lain, pendakap gigi atau braces merupakan pilihan terbaik untuk menyusun semula gigi dengan lebih teratur dan baik.

Foto: Dr. Frost

Selain menjadi keperluan kepada yang memerlukan, pendakap gigi juga dijadikan trend dan fesyen hingga menjadi kegilaan anak muda sekarang yang lebih dikenali dengan nama fake braces.

Mempunyai pelbagai jenis reka bentuk dan warna yang mampu menarik perhatian, maka tidak hairanlah jika pendakap gigi palsu ini menjadi pilihan utama anak muda untuk berfesyen.

Dalam keghairahan untuk berfesyen, anda juga perlu tahu bahawa pemakaian pendakap gigi palsu ini juga mempunyai impak negatif kepada si pemakai yang mempunyai gigi sihat dan kukuh. Gigi anda boleh mereput, rosak, bergoyang, tidak berfungsi dan terpaksa dicabut! Jika anda berkeras mahu mencuba untuk memakai braces, anda perlu tahu beberapa perkara ini.

Foto: Imgrum

Pelbagai Jenis Braces

Terdapat beberapa jenis braces di pasaran yang boleh didapati. Antaranya Conventional Bracket (Metal and Ceramic), Clear Ceramic Braces, Self Ligating Bracket (Metal and Ceramic), Lingual Braces dan Clear Path Braces. Pilihan bergantung kepada bajet dan kesesuaian kes yang anda alami.

Conventional Bracket (Metal and Ceramic) selalunya menjadi pilihan remaja terutama sekali golongan wanita kerana ia lebih murah dan mempunyai elastic berwarna yang mampu menarik perhatian orang yang melihatnya.

Kena X-Ray Dulu

Sebelum pasang braces, anda perlu berjumpa dengan Pakar Ortodontik dan sinaran X perlu dibuat terlebih dahulu untuk menentukan jenis rawatan yang diperlukan. Contohnya, tampalan ataupun cabutan. Tapi, kalau pakar mengesan anda mengalami masalah serius, kemungkinan besar akan ada beberapa batang gigi rosak yang akan dicabut.

Sakit Atau Tidak?

Selepas pemasangan braces, anda akan berasa kurang selesa. Anda mungkin memerlukan ubat tahan sakit disebabkan rasa tidak selesa itu. Selepas seminggu, barulah rasanya berkurangan. Selepas tamat tempoh, braces boleh ditanggalkan tapi anda digalakkan untuk memakai retainer 24 jam sehari untuk tempoh enam bulan pertama bagi memastikan gigi betul-betul kukuh di kedudukan baru.

Pemeriksaan Susulan Setiap Bulan

Ini wajib dilakukan untuk memastikan gigi bergerak mengikut pelan rawatan yang telah ditetapkan oleh pakar atau doktor.

Had Umur

Tiada had umur ditetapkan dan apa yang paling penting adalah gigi dan gusi anda berada dalam keadaan sihat. Tidak salah sebenarnya anda nak mencuba untuk memakai braces, tapi seboleh-bolehnya biarlah anda pakai yang berkualiti dan terjamin keselamatanya.

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: