Cara Buat Serbuk Perasa Homemade Untuk Masakan. Bebas MSG, Lebih Sihat & Sedap
“Senangnya memasak pakai perencah segera ni. Tapi tak apa ke kalau pakai selalu? Bukan apa, perencah segera ni selalunya mesti ada MSG. Takut tak elok pula kalau bagi budak-budak makan. Ada ke cara buat sendiri bahan penyedap masakan untuk gantikan MSG ni?”
Tak dinafikan, memang kita jadi mudah memasak menggunakan pelbagai jenis perencah segera yang ada di pasaran. Cepat dan sedap pulak tu.
Tapi kalau anda perasan, kebanyakan perencah segera yang dijual ini memiliki kandungan Monosodium Glutamat atau MSG. Kadangkala ia turut mengandungi bahan aditif, pengawet atau perasa tiruan. Jadi, kita perlulah baca label dengan lebih teliti dan pastikan kandungannya bersesuaian dengan tahap kesihatan kita, terutamanya jika kita memasak untuk anak-anak kecil.
Rupanya kalau nak lebih selamat dan jimat, kita boleh buat sendiri serbuk perasa homemade menggunakan bahan-bahan semulajadi. Menarik kan? Jom kita tengok cara buat serbuk perasa homemade bebas MSG yang dikongsikan oleh AJ Idris menerusi Facebook beliau.Bagi yang mencari alternatif serbuk perasa bebas MSG, boleh buat sendiri serbuk perasa atau homemade salt seasoning ini. Mesti masakan tetap sedap, tak kalah!
Berikut adalah bahan-bahannya.
BAHAN-BAHAN
- Garam halus (2 bahagian)
- Serbuk bawang putih (1 bahagian)
- Serbuk bawang merah (1 bahagian)
- Serbuk ketumbar (1 bahagian)
- Serbuk lada hitam (1 bahagian)
- Serbuk jintan putih / kumin (1 bahagian)
- *Contoh pek bagi serbuk-serbuk ini boleh tengok dalam gambar di bawah.
Contoh serbuk bawang merah
Contoh serbuk bawang putih
Contoh serbuk lada hitam
Contoh serbuk ketumbar
Contoh serbuk jintan putih (cumin)
CARA-CARA
1. AMBIL BAHAN IKUT SUKATAN
- Caranya mudah saja. Cari dulu bahan-bahan ini dalam pek berasingan. Semua ini boleh didapati di pasar raya di bahagian rempah. Contohnya Mydin, Tesco, dan lain-lain. Sesetengah kedai runcit pun ada juga.
- Sukatan untuk rempah semuanya 1 bahagian, cuma garam halus tu 2 bahagian. Maksudnya kalau pakai 1 sudu, semuanya 1 sudu kecuali garam 2 sudu. Kalau guna senduk, senduklah. Yang penting, guna bekas sukatan yang sama dan gandakan sukatan garam.
2. CAMPURKAN SEMUA BAHAN
- Bila dah sukat tadi, bolehlah campur dan gaulkan kesemua bahan di atas dan simpankan dalam bekas kedap udara. Eh, eh, dah siap!Mudah kan?
3. GUNA DALAM MASAKAN
- Bila nak masak nanti, dah bolehlah gunakan secukup rasa macam kita gunakan serbuk perasa biasa macam sebelum ini.Ia sesuai digunakan untuk menambah rasa dalam masakan seperti sup, perapan ayam / daging dan pelbagai jenis lauk atau masakan. Kata AJ Idris, kalau buat nasi goreng kosong letak ni saja pun dah sedap tau!Tak percaya, kenalah cuba ya.
TAK PAYAH BELI DAH, BUAT SENDIRI LAGI BEST
Wah, tak sangka mudah sangat nak buat serbuk perasa homemade ni. Sebelum ni tak pernah belek betul-betul di ruang rempah-ratus tu dan tak tahu pula kewujudan serbuk-serbuk yang sangat berguna ni.
Jadi lepas ni bolehlah kita pakat-pakat cuba buat di rumah. Mudah-mudahan ia bermanfaat bagi ibu-ibu yang sedang mencari bahan penyedap rasa sebagai pengganti MSG. Bolehlah bertukar kepada alternatif ini. Lebih sihat dan pada masa yang sama masakan tetap lazat. Mesti lebih semangat nak memasak untuk keluarga! Lagipun senang sangat caranya. Jimat dan tak payah beli lagi. Selamat mencuba.
*Tips dan cara buat serbuk perasa homemade ini dikongsikan oleh AJ Idris menerusi Facebook Masak Apa Hari Ni (MAHN).