Bukan Sebab Lidah Pendek, Ini Punca Orang Pelat R

Bukan Sebab Lidah Pendek, Ini Punca Orang Pelat ‘R’ & Tips Menyebutnya

Anda atau orang sekeliling ada masalah untuk menyebut huruf ‘R’ ? Masalah ini walaupun nampak kecil, namun ia boleh menyebabkan seseorang hilang keyakinan diri untuk bercakap.

Orang yang bercakap pelat juga sering diejek dan selalu dikatakan mempunyai ‘lidah pendek’.

Tahukah anda sebenarnya lidah pendek tidak menyebabkan pelat, sebaliknya terdapat banyak punca mengapa seseorang itu pelat.

Jom kita ketahui lebih lanjut tentang fakta dan punca sesetengah orang bercakap pelat.

KITA SEMUA PERNAH PELAT DULU!

Janganlah kita suka mentertawakan orang lain yang pelat sebab kita masa kecil pun pelat juga kan?

Semasa kita berusia 5 tahun ke bawah, fungsi otak di kawasan borca dan wernicke yang berfungsi dalam pemahaman kata-kata dan bahasa sedang berkembang.

Semakin kita meningkat dewasa, keupayaan kita untuk bercakap dengan tepat semakin meningkat dengan latihan dan koordinasi lidah yang baik.


Kredit Foto : freepik.com

1. PELAT BUKANLAH DISEBABKAN OLEH LIDAH PENDEK!

Sehingga ke hari ini, masyarakat kita masih menganggap pelat adalah disebabkan oleh lidah pendek.

Hakikatnya, ia tidak benar sama sekali. Menurut pengamal perubatan, punca utama seseorang pelat ialah kerana perbezaan panjang frenulum linguae iaitu benang halus di bawah lidah.

Cuba anda lihat di cermin, buka mulut dan angkat lidah. Anda akan nampak ‘benang halus’ tersebut.

Orang yang pelat basanya mempunyai frenulum linguae yang lebih panjang sehingga menyebabkan pergerakan lidah terbatas dan sukar untuk bercakap.


Kredit Foto : mgadental.com.au

2. GANGGUAN KOORDINASI LIDAH

Selain untuk makan, lidah juga penting bagi kita untuk bercakap dengan betul.

Sesetengah sebutan huruf banyak dipengaruhi oleh pergerakan lidah.

Berdasarkan perkongsian dari MyHealth, pelat dikategorikan sebagai ‘kesalahan sebutan’ yang berlaku pada peringkat umur tertentu.

Sebutan pelat ini akan menyebabkan masalah penghasilan bunyi (artikulasi) dan pola bunyi (fonologi).

Selain huruf R, kita pasti biasa mendengar orang bercakap pelat ‘S’ dan ‘Z’.

3. BUDAYA DAN GAYA HIDUP

Selain keadaan lidah, sebutan pelat juga boleh berpunca daripada budaya dan gaya hidup bagi sesetengah masyarakat.

Di negara kita, sesetengah orang Cina juga tidak boleh menyebut huruf R sefasih orang Melayu.

Kalau anda perasan, orang yang berpindah ke negara lain juga akan bercakap dengan gaya berbeza berbanding dahulu.

Kredit gambar: REUTERS/Lim Huey Teng

4. MASALAH PSIKOLOGI

Seseorang juga boleh mengalami masalah bercakap pelat disebabkan faktor psikologi.

Contohnya, si adik mendapat lebih banyak perhatian daripada ibu bapa.

Si abang atau kakak yang sebelumnya boleh bercakap seperti biasa berasa cemburu kemudian akan bertindak mengikuti cara percakapan adiknya yang pelat bagi mendapatkan perhatian.

Situasi begini membuktikan pelat bukan hanya berpunca daripada koordinasi lidah atau otak, tetapi ia disengajakan atas sebab-sebab tertentu.

BAGAIMANA BUNYI ‘R’ DIHASILKAN?

Untuk menyebut ‘R’ dengan betul, kita perlu tahu cara bunyi ‘R’ dihasilkan. Bunyi ‘R’ dihasilkan melalui getaran lidah di dalam rongga mulut.

Bunyi ‘R’ yang tepat dapat dihasilkan dengan kedudukan lidah yang tepat dan udara hanya bergetar di dalam rongga mulut.


Kredit Foto : myhealth.gov.my

Jika kedudukan lidah tidak tepat, bunyi lain yang akan keluar seperti ‘L’, ‘Y’,’W’ atau ‘GH’.

Contohnya, ‘Loyi’ untuk sebutan ‘Lori’, ‘Ghumah’ untuk perkataan ‘Rumah’, ‘Burung’ akan disebut sebagai ‘Buwung’ atau ‘Bulung’.

Tips Menyebut Huruf R

Bagi yang tak mahir menyebut huruf R, tak perlu risau dan malu lagi kerana dengan sedikit usaha dan latihan, anda pasti boleh menyebut seperti orang lain.

Boleh ikuti langkah-langkah mudah yang dikongsi oleh Portal KKM ini untuk hasilkan bunyi ‘R’.

1. Angkat lidah ke hadapan dan perlahan-lahan halakan ke belakang.
2. Kemudian, tarikkan lidah ke bawah sedikit supaya tak bersentuh dengan lelangit.
3. Keluarkan suara untuk getarkan lidah dan hasilkan bunyi ‘R’.

Anda juga boleh berlatih dengan mencuba aktiviti lain untuk membiasakan lidah anda menyebut huruf ‘R’.

1. Buatkan bunyi getaran dengan menggunakan hujung lidah pada gusi atas. Kemudian, berhenti buat getaran tersebut tetapi terus keluarkan suara.
2. Buat bunyi ‘L’ yang panjang dan dalam masa yang sama tariikan dagu ke bawah perlahan-lahan sehingga keluar sebutan ‘R’.
3. Gerakkan lidah di sepanjang lelangit bermula dari depan ke belakang sambil menyebut ‘Ah’. Berhenti gerakkan lidah bila sudah dengar sebutan ‘R’.

Bila anda sudah boleh menyebut ‘R’ dengan baik dan konsisten, anda boleh gabungkan bunyi ‘R’ dengan huruf vokal seperti ‘A’, ‘E’, ‘I’, ‘O’, ‘U’ untuk mendapatkan sebutan ‘Ra’, ‘Re’,’Ri’, ‘Ro’ ,’Ru’. Boleh ulang sebutan sehingga lancar.

Anda juga boleh latih sebutan menggunakan perkataan dengan kedudukan sebutan ‘R’ yang berbeza seperti ‘rabu’, ‘baru’, ‘petir’ dan ‘perkara’.


Kredit Foto : cdn.flintrehab.com

Bagi yang mengalami masalah pelat sehingga ke hari ini, hiraukan kata-kata orang dan janganlah berputus asa.

Anda juga boleh dapatkan khidmat ‘speech therapy’ secara profesional untuk membantu anda bertutur dengan baik.

Apa pun, jangan terlalu berasa rendah jika anda pelat sebab orang pelat ni sangat unik dan comel.

Ramai individu juga telah membuktikan bahawa mereka mampu berjaya walaupun bercakap pelat.

Sumber rujukan :

Mari Belajar Sebut Bunyi /r/ http://www.myhealth.gov.my/61800/
Jadi Pelat Bukan Dek Lidah Pendek Ya. Ini Puncanya… – Sinar Harian
5 Fakta Menarik Seputar Cadel yang Tak Banyak Diketahui https://www.idntimes.com/health/fitness/eka-amira/fakta-menarik-seputar-cadel-exp-c1c2/5

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: