Farizal Marlias Kembali Berlatih, Azinee Taib Berlatih Bersama JDT II
Dua nama ini, Farizal Marlias dan Azinee Taib pernah dikhabarkan akan meninggalkan kem JDT untuk musim 2017. Walaupun masih tiada pengesahan rasmi daripada pihak JST, kelihatan mereka masih berlatih bersama JDT.
Farizal Marlias kekal di JDT?
Rasanya masih terlalu awal untuk mengesahkan perkara ini. Jendela Perpindahan Pemain Musim 2017 masih dibuka sehingga 22 Januari 2017. Cara paling awal untuk mendapatkan pengesahan apabila majlis memperkenalkan pemain berlangsung. Untuk musim 2015 yang lepas, JDT memperkenalkan pemain pada 29 Disember 2014.
Perkembangan positif yang dapat dilihat adalah Farizal Marlias sudah menyertai sesi latihan JDT pada malam semalam. Mungkin, ini dapat mengurangkan sedikit kerisauan penyokong. Di kem JDT II slot untuk penjaga gol sudah dipenuhkan dengan Sasikumar, Ernest Wong dan Samuel Somerville.
Azinee Taib turun ke JDT II?
Pada sesi latihan JDT II, kelihatan Azinee Taib sedang berlatih bersama pemain yang lain. Adakah untuk sementara waktu atau kekal di JDT II? Kami sendiri pun tiada jawapan dan menanti pengesahan dari JST sendiri.
Jurulatih Mario Gomez pernah menyatakan yang beliau masih belum berpuas hati dengan tahap stamina Azinee Taib selepas perlawanan menentang Kelantan di Stadium Larkin. Gomez berkata sebagai pemain Azinee harus mampu beraksi selama 90 minit perlawanan bukannya sekadar 75 minit hingga terpaksa dikeluarkan akibat keletihan.
Adakah itu menjadi penyebab Azinee Taib diturunkan ke JDT II?
Baca juga: Liga Super 2016: Senarai Lengkap 56 Gol JDT Berserta Video