Hukum KIRIM Doa Dari Tanah Suci

Ini Hukum KIRIM Doa Dari Tanah Suci & Adab Berdoa Agar Dimustajabkan!

Perbuatan mengirim doa dari Tanah Suci merupakan perkara biasa dilakukan, terutamanya apabila seseorang itu tidak mempunyai kesempatan untuk pergi beribadat di sana. Namun, pernah kah anda terfikir berkenaan hukum mengirim doa dari Tanah Suci tersebut?

Justeru itu, mari ikuti penjelasan dari Mufti Wilayah Persekutuan berkenaan hukum mengirim doa dari Tanah Suci dan ilmu mengenai adab-adab berdoa agar dimustajabkan.

HUKUM MENGIRIM DOA

Melalui artikel yang diterbitkan pada 2008 , tidak dapat dinafikan berdoa di tanah haram mempunyai banyak kelebihan dan keutamaannya tertentu. Berdasarkan kenyataan Imam Ibn Rajab al-Hanbali Rahimahullah di dalam kitabnya Lathaif al-Ma’arif (Hlm. 269) yang berkata:

Ketahuilah bahawasanya penggandaan pahala bagi setiap amalan itu berlaku dengan beberapa sebab seperti berikut:

Pertama: Kemuliaan tempat yang dilakukan padanya amalan tersebut, seperti tanah haram. Oleh kerana itulah solat di dalam dua masjid Makkah dan juga Madinah itu dilipatgandakan ganjarannya. Sebagaimana yang telah sabit di dalam sebuah hadis yang sahih daripada Nabi S.A.W baginda bersabda:

صَلاَةٌ فِي مَسْجِدِي هَذَا خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ صَلاَةٍ – أَوْ كَأَلْفِ صَلاَةٍ – فِيمَا سِوَاهُ مِنَ الْمَسَاجِدِ إِلاَّ أَنْ يَكُونَ الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ

Maksudnya: Solat di dalam masjidku ini (Masjid Nabawi) adalah lebih baik berbanding 1000 solat – atau menyamai 1000 solat – berbanding masjid-masjid selainnya, kecuali Masjid al-Haram. Riwayat Muslim (1394)

Justeru, hal ini jelas menunjukkan bahawa ibadah yang dilakukan di tanah haram itu dilipatgandakan ganjaran pahalanya, dan termasuklah dalam perbuatan ibadah itu adalah doa yang dilakukan oleh seseorang itu di dalam tanah haram.

Kesimpulan

Perbuatan meminta orang lain yang terpilih di sisi Allah S.W.T untuk menunaikan ibadah di Tanah Haram agar mendoakan kebaikan kepada individu yang tidak berada di sana, yang lebih makruf di sisi uruf masyarakat kita dengan perbuatan mengirimkan doa, hukumnya adalah dibolehkan.

Sebuah riwayat daripada Saidina Umar al-Khattab R.A, bahawa beliau pernah meminta izin kepada Nabi S.A.W untuk menunaikan umrah, lalu baginda mengizinkannya dan berkata kepada Umar:

لاَ تَنْسَنَا يَا أُخَىَّ مِنْ دُعَائِكَ

Maksudnya: Jangan lupakan kami wahai saudaraku dari doa kamu. Riwayat Abu Daud (1498)

ADAB-ADAB BERDOA

Dalam masa yang sama, jangan lah pula anda mengabaikan untuk berdoa dari negara sendiri dengan meraikan adab-adab berdoa di bawah. Ia membantu untuk doa anda dimustajabkan Allah SWT.

Pertama: Berdoa dengan penuh harap dan yakin

Di antara adab berdoa, seseorang itu perlulah meminta kepada Allah S.W.T dalam keadaan dirinya bersangka baik dengan-Nya agar permintaan itu dimustajabkan. Demikian juga, seseorang itu perlulah berdoa dalam keadaan penuh harap (agar doa dimustajabkan) dan juga perasaan takut (dari doa tertolak). Ini berdasarkan firman Allah S.W.T:

إِنَّهُمْ كَانُوا يُسَارِعُونَ فِي الْخَيْرَاتِ وَيَدْعُونَنَا رَغَبًا وَرَهَبًا

Maksudnya: Sesungguhnya mereka itu (para Nabi) sentiasa bersegera dalam melakukan perkara kebaikan. Dan mereka berdoa kepada Kami dalam keadaan penuh harap dan rasa takut. Surah al-Anbiya’ (90)

Baca juga: Cara Buat Solat Sunat Tasbih, Ini Panduan & Langkah Yang Jelas. Jom Beramal!

Kedua: Memuji Allah SWT sebelum berdoa

Di antara adab dalam berdoa adalah dengan memuji Allah S.W.T sebelum meminta sebarang hajat.

Demikian juga seperti yang difirmankan oleh Allah S.W.T di dalam al-Quran yang menceritakan berkenaan doa Nabi Ibrahim A.S, baginda memulakan dengan katanya:

الَّذِي خَلَقَنِي فَهُوَ يَهْدِينِ (78) وَالَّذِي هُوَ يُطْعِمُنِي وَيَسْقِينِ (79) وَإِذَا مَرِضْتُ فَهُوَ يَشْفِينِ (80) وَالَّذِي يُمِيتُنِي ثُمَّ يُحْيِينِ (81) وَالَّذِي أَطْمَعُ أَن يَغْفِرَ لِي خَطِيئَتِي يَوْمَ الدِّينِ

Maksudnya: Dialah Tuhan yang telah menciptakan aku maka Dia jugalah yang memberikan petunjuk. Dialah Tuhan yang memberi makan dan minum kepadaku. Dan apabila aku sakit, maka Dialah yang memberikan kesembuhan. Dan Dialah Tuhan yang mematikan aku kemudian menghidupan semula (diriku). Dan Dia jugalah Tuhan yang sangat aku harapkan supaya Dia mengampunkan kesalahan-kesalahanku pada hari akhirat. Surah al-Shu’ara (78 – 82)

Kesemua ungkapan di atas ini, jika diteliti ia adalah suatu puji-pujian seorang hamba kepada Tuhannya. Maka Nabi Ibrahim A.S tidak terhenti sekadar lima pujian ini, bahkan baginda menyambungnya dengan lima buah permintaan kepada Allah S.W.T melalui firman-Nya:

رَبِّ هَبْ لِي حُكْمًا وَأَلْحِقْنِي بِالصَّالِحِينَ (83) وَاجْعَل لِّي لِسَانَ صِدْقٍ فِي الْآخِرِينَ (84) وَاجْعَلْنِي مِن وَرَثَةِ جَنَّةِ النَّعِيمِ (85) وَاغْفِرْ لِأَبِي إِنَّهُ كَانَ مِنَ الضَّالِّينَ (86) وَلَا تُخْزِنِي يَوْمَ يُبْعَثُونَ

Maksudnya: Tuhanku, berilah hikmah kepadaku dan golongkanlah diriku bersama dengan orang-orang yang soleh. Berilah kepadaku lisan yang benar buat orang-orang yang terkemudian. Dan jadikanlah aku di antara mereka yang mewarisi syurga al-na’im. Dan ampunkanlah bapaku, sesungguhnya dia tergolong dalam kalangan mereka yang tersesat. Dan janganlah Kau hinakan aku pada hari kebangkitan. Surah al-Syu’ara’ (83-87)

Justeru, dapat kita fahami bahawa petunjuk qurani di dalam berdoa adalah dengan memulakannya dengan ucapan pujian-pujian kepada Allah S.W.T.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: