Isteri Dan Anak Maut, Suami Parah
BATU PAHAT: Isteri dan anak berusia dua tahun maut manakala suami yang juga pemandu parah selepas Toyota Vios dinaiki terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung sebuah lori dalam kemalangan di kilometer 79 Jalan Johor Bharu-Ayer Hitam, Kluang 2.30 petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Mohamad Laham berkata, mangsa dikenali sebagai Nurul Aqilah Tukol, 25, yang juga penumpang hadapan dan anaknya Amanda Nur Keisha penumpang belakang maut serta merta di lokasi kejadian manakala Akmal Lufti Esa, 32, dikejarkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom Kluang.
“Toyota Vios dari arah Simpang Renggam menghala ke Ayer Hitam. Semasa kemalangan, hujan lebat dan adalah jalan selekoh.
“Dalam kemalangan ini, pemandu lori Hussin Rakimin, 56, tidak mengalami kecederaan. Penumpang hadapan dan penumpang belakang meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sumber: Berita Harian