Ghaddar Jdt Vs Pkns Fc

Kenapa JDT Kelihatan ‘Struggle’ Untuk Menang Keatas PKNS Semalam?

Ternyata PKNS memberikan seribu satu kesusahan kepada JDT untuk menembusi benteng pertahanan mereka dengan mengamalkan corak ‘tight man-to-man marking’. Jelas di dalam perlawanan semalam, Mohamad Ghaddar dijaga sepenuh rapi oleh barisan pertahanan PKNS.

Corak pertahanan sebegitu menyukarkan pemain-pemain JDT untuk bermain lebih berbahaya. Banyak pergerakan mereka tertumpu di ‘wide area’ dan hantaran belakang semula disebabkan tiada ruang dan peluang untuk mereka melakukan hantaran lolos.

Di bawah penulis cuba merungkai beberapa aspek yang menyebabkan JDT sangat-sangat ‘struggle’ dalam perlawanan semalam.

Permulaan

Mohammad Ghaddar bermula sebagai kesebelasan utama untuk berganding bersama Gonzalo Cabrerra dan Azrif Nasrulhaq yang dipertanggungjawabkan untuk menggalas tugas sebagai seorang ‘flanker’. Gabriel Guerra mengambil alih posisi Safiq Rahim yang menjalani hukuman selepas mengutip tiga kad kuning untuk menguatkan tengah bertiga JDT dalam formasi 4-3-3 mereka.

Dengan ketiadaan Safee Sali sebagai perancang utama, E.Elaravasan meletakkan gandingan duo import mereka sebagai permulaan perlawanan.

PKNS bertahan dan menyerang dalam satu unit

pkns fc nazrin

Ronaldinho dan Nazrin jelas memberi saat-saat sukar kepada barisan pertahanan JDT

20 minit pertama jelas PKNS lebih bagus berbanding JDT dalam pelbagai aspek. Dari segi pengawalan permainan, penguasaan bola, cubaan menyerang ‘on target’ dan berdisiplin ketika bertahan.

JDT dipaksa untuk bermain di ‘wide area’ memandangkan pemain-pemain PKNS berjaya merantai gandingan ‘3G’ JDT, Guerra-Gonzalo-Ghaddar. Azrif dilihat sukar untuk menewaskan pemain pertahanan PKNS walaupun mempunyai kepantasan disebabkan saiz fizikal beliau yang bertubuh kecil.

PKNS dilihat mampu mengejutkan pelawat dengan tiga serangan awal melalui Nazrin, Hadwa dan Ronaldinho. Namun palang dan aksi cemerlang Farizal Marlias menjadi sebab kenapa PKNS harus menggelengkan kepala mereka.

JDT tempang tanpa ‘DYNAMO’

amirul hadi vs pkns fc

Amirul Hadi ‘hilang’ sekejap di dalam perlawanan semalam

Rakan penulis sudah menyatakan yang JDT kemungkinan akan menghadapi kesukaran jika ketiadaan Safiq Rahim sebagai jeneral di atas padang. Dan ini terbukti di dalam perlawanan semalam di mana tengah bertiga JDT jelas tiada ‘chemistry’.

Amirul Hadi dilihat seperti men’isolated’ kan dirinya sendiri di dalam separuh masa pertama. Gabriel Guerra juga jelas buntu apabila memperoleh bola di kaki beliau. Beliau seolah-olah buntu sama ada mahu terus menyerang mahupun bermain dahulu dengan rakan-rakan lain.

JDT celaru dengan dua ‘ALPHA’

Penulis menjangkakan JDT akan menghadapi kesukaran di peringkat permulaan memandangkan dua ‘alpha’ bermain bersama iaitu Mohammad Ghaddar dan Gabriel Guerra. Dan jelas separuh masa pertama, pemain JDT sedikit sebanyak terganggu untuk melakukan serangan.

Ada satu ketika mereka terpaksa bermain mengikut gaya dan rentak Guerra dan ada satu ketika ‘Ghaddar rules’ diaktifkan namun semua serba tidak menjadi. Ternyata kehilangan ‘beta’ di dalam kepingan ‘jigsaw puzzle’ JDT sangat dirasai.

Wak Dar lebih bagus di separuh masa kedua

Separuh masa pertama ternyata itu bukan lah Ghaddar yang kita semua kenali. Setiap hantaran, aksi menggelecek dan ‘first ball’ semuanya ke laut.

Namun arahan taktikal Mora yang mengarahkan agar lebih banyak bola diberikan kepada Ghaddar ternyata menjadi. Ghaddar nampak lebih yakin diri selepas melakukan ‘assist’ tanpa sengaja kepada Amirul Hadi yang kebetulan berada di kawasan kotak penalti tepat pada masa di mana hantaran Ghaddar tersebut adalah dari cubaan rembatan beliau yang agak lemah.

Ghaddar mempunyai sekurang-kurangnya 6 peluang untuk merobek gawang gol lawan. Namun, mungkin disebabkan tekanan para peminat yang mahu aksi 106% terbaik dari beliau menyebabkan semua serba tidak kena dalam aksi beliau semalam.

Dengan kembalinya Safiq Rahim selepas ini, rasanya Ghaddar akan kembali ‘mengaum’ seperti mana beliau ‘mengaum’ di Kelantan.

Pemain terbaik perlawanan

Penulis merasakan Farizal Marlias layak untuk memenangi anugerah ini. Aksi beliau yang sangat menyakinkan dan sudah pasti kita tidak boleh melupakan bagaimana beliau berjaya menampan rembatan Hadwa dari menjaringkan gol penyamaan.

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: