Kereta Berhias

Konvoi 161 Kereta Ke Shah Alam Dari Kelab Kereta Harimau Selatan (KKHS)

“Kami bukan hanya sekadar menyokong tetapi turut mempromosikan kelab kesayangan kami, Johor Darul Ta’zim (JDT),” kata pengasas Kelab Kereta Harimau Selatan (KKHS), Mohamed Amer Fadhullah.

KKHS akan mengadakan konvoi membabitkan 161 buah kereta dari Johor Bahru ke Stadium Shah Alam, esok sempena pertembungan final Piala Malaysia menentang Kedah.

Sebelum ini, KKHS pernah menganjurkan konvoi yang sama ketika JDT beraksi di pentas final Piala Malaysia 2014 dan Piala FA 2016.

[AdSense-B]

Amer, 35, berkata, setakat ini segala persiapan sudah diatur dan berjalan lancar bagi memastikan perjalanan konvoi itu selamat tiba di destinasi.

“Memang pada setiap tahun, apabila ada perlawanan final sama ada di Stadium Nasional Bukit Jalil atau Stadium Shah Alam, kita satu-satunya kelab kereta dari Johor yang akan buat berkonvoi ke venue final.

“Kali ini, kita buat konvoi membabitkan 161 buah kereta, tetapi kalau diikutkan jumlah semua kereta ahli yang akan pergi ke sana, ia sebenarnya 317 buah. Ini kerana, ada ahli yang bergerak dari luar Johor Bahru.

“Konvoi sebelum ini merekodkan 110 buah kereta dengan perjalanan selama 11 jam untuk sampai (pada 2014). Jadi, jumlah 161 buah kereta kali ini adalah rekod baharu, tak termasuk orang awam yang kita ajak dengan syarat cuma perlu memasang bendera di kenderaan masing-masing.

“Kita akan ada 36 marshal yang berkomunikasi dengan radio bagi mengawasi pergerakan di jalan raya. Perjalanan lebih lama daripada perjalanan biasa kerana pemanduan kereta tak boleh melebihi 100 kilometer sejam,” katanya.

Apa yang menarik, apabila kesemua kereta ahli kelab KKHS ini dihias menerusi tema JDT dengan cukup kreatif sama ada menggunakan cat ataupun pelekat kereta.

[AdSense-B]

Amer berkata, apa yang mereka lakukan ini bukan hanya sekadar menzahirkan tanda sokongan kepada kelab Harimau Selatan itu sebaliknya mempromosikannya kepada orang luar.

“Kita menyokong dan membawa jenama JDT ini ke seluruh pelusok negara, tak kisah kami berada di Kuala Lumpur, Johor, Kelantan, Perak, kami akan bawa nama JDT.

“Kami membantu mempromosikan pasukan JDT ke seluruh negara bukan hanya dalam stadium,” katanya.

Harapan ahli KKHS kali ini cukup besar, untuk melihat JDT menewaskan Kedah di pentas final.

“Kami mengharapkan kemenangan untuk membawa pulang Piala Malaysia, sebab tahun terakhir piala ini ke Johor pada 1991. Piala ini akan melengkapkan kejayaan JDT di peringkat domestik,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Baca juga: Azmil Azali Ramal JDT Menang 2-0

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: