Sujud Syukur

Lihat Apa Yang Kau Ada, Bukan Apa Yang Kau Tiada. Inilah Kunci Rezeki Melimpah Ruah

Bagi mereka yang mempunyai keluarga pastinya ingin memberikan kesenangan kepada isteri dan anak-anak. Malah sentiasa berusaha memastikan keluarga bahagia dengan sumber kewangan yang kukuh. Memang benar, rezeki tidak tidak bergolek tanpa usaha, tetapi rezeki datangnya daripada Yang Maha Pencipta tanpa kita duga. Selain solat dhuha dan zikir pembuka rezeki, memberi sedekah adalah amalan yang menjemput rezeki datang tanpa kita duga.

Telah terbukti melalui perkongsian yang dinyatakan oleh Encik Mohd Noor Azam Tuan yang menceritakan bahawa ‘kuasa’ sedekah itu begitu berkuasa. Walaupun perkongsian ini mengusik jiwa namun ia sungguh inspirasi ini. Moga kita semua muhasabah diri.

SUJUD SYUKUR SAMBIL BERTUALA.

Gambar hiasan

Saya ada sebuah kisah peribadi yang boleh jadi inspirasi kepada Tuan dan Puan mengenai konsep bersyukur.Kisah ini panjang. Kejadian itu mendidik saya sehingga hari ini dalam berniaga.

Semasa saya berhenti kerja, hutang saya bernilai RM5,000. Lebih kuranglah. Yakin bisnes boleh maju dan berikan wang (sebenarnya tiada ilmu, hanya andaian saja), maka saya berhenti dan teruskan berniaga buat tapak niaga. Hari pertama berhenti, dalam masa 24 jam kenderaan saya ditarik. Allah. Nasib baik ada kereta kedua. Walau kecil, saya redha apa yang berlaku. Jika pada orang lain, mungkin itu tanda ‘suey’ (tidak baik) pada permulaan niaga. Mujur Allah berikan pasangan yang baik. Isteri ingatkan,

“Sabar..satu hari nanti kisah sedih ini akan jadi pengalaman manis bila kita berjaya”

Bulan ke 6, saya diuji dengan hutang yang tak mampu dibayar. Allah beri ujian lagi. Anak kehabisan susu dan isteri menangis kesedihan. Allah ujian ini sangat berat! Saya masih ingat, sewaktu itu saya sedang menyapu rumah. Berpakaian seluar pendek saja. (dalam rumah). Kepala memikirkan tekanan hidup kerana bisnes tak menjadi.

Tiba-tiba, bunyi hon posmen. Saya minta isteri keluar dan ambil bungkusan poslaju itu. Tak lama kemudian, tergopoh-gopoh dia naik tangga dan berikan ‘isi kandungan’ pos laju itu. Sebuah buku! “Saya cuba je letak.nama sebab penukis nak beri percuma kepada yang terawal. Dapat rupanya!”

MARI MENJEMPUT REZEKI.

Saya selak satu-satu. “Ahhh klishe!” getus hati saya.. Hanya nasihat biasa. Suruh itu, suruh ini. Tukar fikiran dan sebagainya. Bagi saya waktu itu sebarang buku yang ada hadis dan ayat-ayat Al Quran mungkin membosankan sebab bahasanya yang BERAT.

“Aku tengah pening duit tak ada, dia suruh baca pula”, bisik saya dalam hati.

Petang itu sedang berehat saya terrrrrnampak buku itu. Tangan terus menyelak ke satu laman mukasurat.

KISAH GRADUAN YANG PERGI KONVO HANYA ADA RM30 DAN BERSEDEKAH SEMUANYA. APA YANG TERJADI SELEPAS ITU?

Saya baca satu demi satu. Air mata saya menitis. Saya ulang baca daripada mukasurat awal hinggalah tamat dalam masa 1 jam 45 minit. Kata kunci bersyukur buat saya terpana.

‘Lihat apa yang kau ada bukan apa yang kau tiada.’

Saya ada anak-anak dan isteri, saya ada rumah untuk mereka, lantas kenapa saya mahu merungut?

Sedekah!

Perkara pertama saya lakukan, habiskan RM20 yang ada ditangan, beli jambu batu dan potong lalu letak di masjid (solat Jumaat). Habis!! Saya pulang. Duit sudah tiada di tangan. Hanya ada bekalan makanan cukup 7 hari. Sememangnya saya buntu.

Tapi…jiwa saya tenang. Eh kenapa ni? Saya sudah tiada wang. Tapi lepas sedekah tadi, hati tenang sangat. Hari berlalu seperti biasa sehinggalah hari Isnin, hon posmen berbunyi lagi. Saya yang baru lepas mandi dan bertuala terkejut apabila isteri menjerit.

“You, ada cek!!”

Saya lihat cek itu. Ya, nilainya ribuan ringgit. baru saya teringat komisen saya jual rumah dahulu masih ada berbaki. Ya Allah. Oleh kerana terlalu gembira, dengan bertuala saya sujud syukur. Menangis kami suami isteri.

Sejak daripada itu, setiap kali tv mempamerkan no. akaun untuk derma, kami beri juga walau RM1.00.

Buat online. Zakat perniagaan kami jelaskan.Kami yakin, sedekah itu membersihkan hati dan menenangkan jiwa kami. Cabaran pasti ada sepanjang berbisnes dan sukar dikawal, tetapi kita boleh kawal jiwa kita untuk tenang dan keberkatan itu dapat diperolehi.

Walau tapak niaga kadangkala tak penuh, walau terpaksa menutup tapak niaga dan cakap-cakap orang, kami percaya kepada Maha Pemberi Rezeki. Sampai sekarang, saya masih terfikir cantiknya aturan Allah menjadikan buku itu sampai TEPAT pada waktunya. Saya minta bantuan duit dan peluang tetapi buku itu adalah mediumnya. Terima kasih Allah kerana selalu mengujiku.

Sungguh inspirasi perkongsian ini!

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: