MB Johor Jumpa PM Berkenaan Isu Penangguhan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Dan Batu Puteh.
JOHOR BAHRU: Menteri Besar, Datuk Osman Sapian, akan menemui Tun Dr Mahathir Mohamad bagi membincangkan dua isu besar berkaitan penangguhan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) dan Batu Puteh.
Osman berkata, pertemuan dengan Perdana Menteri dijadual berlangsung minggu depan dan beliau akan mendapatkan penjelasan terperinci berhubung dua isu terbabit.
“Saya akan membawa suara rakyat Johor berhubung Pulau Batu Puteh dan mendapatkan penjelasan Perdana Menteri,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan Tahunan Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) Johor ke-20, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Osman memaklumkan wujud masalah pengambilan tanah dalam projek Rapit Transit Sistem (RTS) antara Bukit Chagar Johor Bahru ke Woodlands Singapura.
Katanya, pemilik tanah dikatakan meletakkan harga tinggi dan tidak sesuai dengan nilai semasa.
“Ada masalah pengambilan tanah di sekeliling ini membabitkan kos pampasan kerana tanah yang dihadkan sekarang tidak cukup.
“Ia membabitkan beberapa rumah dan kos pampasan lebih RM300 juta. Perkara ini dalam perbincangan dan jika selesai, ia akan dilaksanakan secepat mungkin.
“Pemilik tanah tidak setuju dengan harga penilaian yang kita buat berdasarkan nilai semasa kerana mereka mahu nilai harga selepas projek siap” katanya.
Sumber: Berita Harian