Lelaki Didenda RM50,000 Kerana Melombong Emas Secara Haram

Lelaki didenda RM50,000 kerana melombong emas secara haram

Raub: Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini mendenda seorang lelaki RM50,000 selepas mengaku bersalah melombong emas secara haram di Hutan Simpan Kekal Kechau dalam daerah Lipis, Mac lalu.

Hakim Ahmad Faizadh Yahaya juga memerintahkan Liew Lok Shong, 59, yang beralamat di Selangor menjalani hukuman penjara 12 bulan, jika gagal menjelaskan denda itu.

Ahmad Faizadh turut mengarahkan sebuah jengkaut dan enjin air yang disita Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) pada hari kejadian dilucut hak kepada kerajaan negeri.

Liew didakwa melakukan perlombongan tanpa lesen atau pajakan yang sah di hutan terbabit pada 12.40 tengah malam, 10 Mac lalu, yang merupakan kesalahan mengikut Seksyen 158 Enakmen Mineral 2001 Negeri Pahang.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, perbuatan tertuduh terbongkar selepas Bahagian Penguatkuasaan UPNP menemukan sebuah jengkaut dan enjin air ditinggalkan dalam keadaan masih beroperasi, selepas individu di situ menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Liew kemudian menuntut dan mengaku sebagai pemilik jengkaut berkenaan.

Pemeriksaan di Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang mendapati tiada kelulusan dikeluarkan bagi aktiviti perlombongan di kawasan itu, manakala ujian sampel jenis mineral di tempat itu oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) mengesahkan ia mengandungi emas.

Pada prosiding itu, Liew yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah menjatuhkan hukuman paling ringan atas alasan dia kini bekerja sendiri dengan pendapatan bulanan RM3,500, selain sudah insaf.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa UPNP Taqiuddin Azizan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai untuk tidak melakukan kesalahan sama.

“Kes perlombongan haram menyebabkan berlaku ketirisan hasil yang tinggi kepada kerajaan negeri dan lebih teruk lagi ia mengganggu kelestarian alam sekitar,” katanya.

Pendakwaan turut dikendalikan Pegawai Pendakwa UPNP Muhamad Najmi Zaki.

Sumber: Harian Metro

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: