Menang Ke Atas Terengganu FC, JDT Semakin Menghampiri Kejuaraan Liga Super
JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta’zim (JDT) berada di landasan terbaik untuk mengenggam kejuaraan Liga Super untuk kali kelima pada musim ini selepas mudah membenam Terengganu FC (TFC) 2-0 pada aksi di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi.
Kemenangan itu menyaksikan JDT selaku juara empat musim berturut-turut kini mengumpul 41 mata kekal di tangga teratas selepas mengharungi 16 perlawanan dan hanya memerlukan dua lagi kemenangan untuk melakar sejarah bola sepak Malaysia merangkul kejuaraan liga kelima berturut-turut yang belum dikecapi oleh mana-mana pasukan sejak era bola sepak profesional diperkenalkan.
Bermula babak pertama skuad kendalian Raul Longhi menguasai perlawanan dengan asakan bertubi-tubi mengasak benteng pertahanan anak didik Irfan Bakti Abu Salim dan dalam tempoh lapan minit perlawananan skuad Harimau Selatan sudah berada di depan.
Berpunca daripada sepakan sudut Fernando Elizari menyaksikan Marcos Antonio yang tidak dikawal mudah melonjak tinggi menanduk bola tepat ke penjuru kanan gol menewaskan penjaga gol, Sufian Rahman Kungi Raman.
Gol awal itu mengundang resah buat skuad Penyu yang tampak masih tercari-cari rentak permainan ketika Harimau Selatan terus memberi tekanan terhadap benteng pertahanan pelawat menerusi gerakan menarik Elizari dan dibantu Safawi Rasid serta Gonzalo Cabrera.
Cabrera hampir mencipta gol kedua tuan rumah pada minit ke-18 selepas menerima bola lorongan Elizari namun pemain pertahanan pelawat, Kamal Azizi Zabri berjaya memintas untuk menghalang daripada melakukan percubaan berbahaya.
Posisi tengah yang dikuasai JDT menerusi gandingan Hariss Harun-Elizari-Syamer Kutty Abba memaksa Irfan Bakti merombak bahagian itu apabila memasukkkan `Messi Ganu’ Faiz Mohd Nasir pada minit ke-31 untuk menguatkan semula jentera itu bergandingan dengan Lee Tuck.
Sebaliknya, tuan rumah memastikan pelawat terkedu pada minit ke-34 selepas bola gerakan menarik hasil bola sepakan lintang Syamer Kutty tepat kepada Cabrera yang sempat melihat kedudukan Sufian Rahman sebelum merembat bola leret ke penjuru kanan untuk meletak tuan rumah selesa dengan kedudukan 2-0.
Pelawat yang enggan menyerah kalah bertindak menggempur benteng tuan rumah pada minit ke-50 namun percubaan Kipre Tchetche sempat dihalang penjaga gol, Farizal Marlias sebelum Hariss membantu bagi mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.
Tchetche sekali lagi mengundang cemas benteng tuan rumah apabila mengambil kesempatan daripada kesilapan Aidil Zafuan Abd Radzak yang kehilangan bola pada mini ke-60 tatkala Farizal juga tertewas namun Corbin Ong sempat mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.
Tuan rumah terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Aidil Zafuan bertindak mengasari K Partiban pada minit ke-71 dan pengadil perlawanan, Razlan Zoffri Alli tidak teragak-agak melayangkan kad merah.
Bagaimanapun, TFC gagal mengambil kesempatan ke atas JDT yang kekurangan pemain untuk memburu jaringan sebaliknya kedudukan 2-0 yang memihak Harimau Selatan kekal sehingga tamat perlawanan.
Sumber: Berita Harian