Stadium Perak

PAFA, PBNJ Mungkin Dihukum Kerana Kekecohan Penonton

 

Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) dan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) berisiko dikenakan tindakan keras Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), susulan insiden kekecohan pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Perak, Ipoh, Ahad lalu.

Ini kerana, PAFA dan PBNJ masing-masing pernah didenda RM47,500 dan RM30,000 kerana tindakan liar penyokong mereka dan turut diberi amaran keras.

Berdasarkan kenyataan Jawatankuasa Tatatertib selepas mesyuarat pada 2 November 2016, hukuman lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama.

[AdSense-B]

Lebih buruk, susulan insiden sebelum ini, PAFA turut dikenakan hukuman beraksi tiga perlawanan Liga Malaysia (Liga M) tanpa penonton di laman sendiri kerana tindakan penyokong mereka pada aksi Liga Super antara The Bos Gaurus dan JDT, 6 Ogos 2016.

Namun, insiden sama turut mencemari perlawanan Ahad lalu membabitkan kedua-dua pasukan apabila kekecohan dipercayai bermula sebelum tamat perlawanan yang menyaksikan penyokong mula membaling botol ke dalam padang.

Ada antara individu yang mengeruhkan lagi keadaan apabila membaling mercun ke arah sekumpulan penonton dengan polis mengesahkan sudah menahan beberapa orang – dipercayai kerana menimbulkan kekecohan dan membaling mercun di luar stadium.

[AdSense-B]

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Baljit Singh Sidhu menegaskan pihaknya perlu menunggu laporan pihak berkaitan serta laporan Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) terlebih dulu sebelum apa-apa tindakan diambil.

Katanya, tidak adil untuk FAM mengumumkan bentuk hukuman yang bakal diterima dua pasukan itu sedangkan perkara itu belum lagi dibincangkan.

“Kita sedang menunggu laporan dan keterangan mengenai insiden itu untuk dibuat penilaian secara menyeluruh dan selepas itu, barulah kita boleh putuskan bentuk hukuman yang sewajarnya atas pertuduhan yang dikenakan ke atas dua pasukan ini.

[AdSense-B]

“Ketika ini, saya tidak boleh memberikan gambaran bentuk hukuman yang akan dikenakan kerana kita tidak boleh mengadili terlalu awal tanpa keterangan dan bukti yang kukuh,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sumber: Berita Harian

Baca juga: Syafiq Ahmad Ke Johor Bahru Atas Jemputan TMJ

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: